Reza yang mula menempa nama menerusi drama bersiri Trilogi Cinta itu memberitahu, walaupun kini sudah bergelar pelakon dan aktiviti hariannya padat dengan jadual penggambaran drama, Reza tetap meluangkan masa bersama kawan-kawannya untuk menari breakdance.
Sebab itulah, ujar Reza, dia dan rakan-rakannya yang aktif dengan aktiviti berkenaan duduk serumah agar mereka dapat berkumpul dan sama-sama melakukan tarian yang banyak menggunakan kekuatan tangan itu.
“Sesekali, jika ada kelapangan, saya bersama beberapa rakan akan ke Bukit Bintang untuk membuat persembahan percuma di hadapan orang ramai di kawasan lapang yang terdapat di situ.
“Saya seronok melakukan aktiviti ini. Walaupun letih, tetapi ia memberi kepuasan kepada saya, sekali gus sedikit sebanyak membuang tekanan kerja yang dihadapi sebelum ini,” katanya yang menganggotai kumpulan breakdance yang dinamakan Blazin Squad itu.
Menceritakan pengalamannya sepanjang enam tahun bergelar B-Boy, kumpulannya pernah mendapat tempat kedua dalam Pertandingan Breakdance Rakan Muda Ipoh pada 2006 dan mewakili negeri Perak ke peringkat kebangsaan.
Sekali pun tidak berjaya memenangi pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan, ia tidak mematahkan semangat Reza dan ahli kumpulannya.
“Malah, ia membuatkan kami semakin gigih berlatih bagi memastikan skil kami bertambah baik dan berdaya saing.
“Sekarang ini, kami sudah bersedia untuk menghadapi sebarang pertandingan.
“Bukanlah kemenangan yang kami cari, sebaliknya pengalaman yang diperoleh ketika menyertai pertandingan tersebut.
“Pengalaman yang kami dapat diharap dapat memajukan Blazin Squad dan sekurang-kurangnya kami berjaya merangkul kejuaraan bagi mana-mana pertandingan kelak,” ujarnya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama muzikal arahan Erma Fatima, Aspirasi Varsiti untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
0 ulasan:
Catat Ulasan