Hanya dengan perkenalan singkat di rumah bapa mertuanya, siapa sangka pelakon utama drama Ustaz Amirul ini, Ashraf Muslim,30, kini sudah bergelar suami kepada Noor Dayana Lokman, 24, pada 1 Syawal lalu di Tanah Suci, Mekah.

Tanggal 17 September lalu, pasangan ini telah mengadakan majlis resepsi perkahwinan mereka di rumah pengantin perempuan di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu tetap meriah dengan kehadiran rakan-rakan serta saudara mara pengantin lelki dan perempuan.

Tepat pukul 1.30 petang, merpati dua sejoli ini melangkah masuk ke tempat persandingan mereka, diiringi muzik daripada bagpipies, membuatkan semua tetamu yang hadir bagaikan terpaku dengan kehadiran mereka.

Persandingan yang bertemakan Inggeris moden itu kemudiannya diteruskan lagi dengan bacaan doa sebaik sahaja pasangan tersebut duduk di atas pelamin.

Pada majlis tersebut, jelas terpancar cahaya kegembiraan di wajah pasangan suami isteri ini yang mengenakan persalinan rona putih dan juga ungu muda rekaan Ezuwan Ismail.


Dalam majlis itu, Dayana menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak Ashraf yang berupa senaskah al-Quran, telekung, beg tangan Salvatore Ferragamo, iPhone 4, jam tangan berjenama Esprit, kek dan juga sirih junjung.

Manakala Ashraf menerima 11 dulang hantaran antaranya senaskah al-Quran, jam tangan berjenama Gucci, set wangian Boss, cermin mata Prada dan juga kasut berjenama Bally.

Isteri pelengkap kehidupan

Bagi pelakon yang sinonim dengan watak ‘orang alim’ ini, kehadiran Dayana dalam hidupnya umpama satu bintang yang menjadi pelengkap kepada dirinya.

“Alhamdullillah, apa yang saya doakan di depan Kaabah ketika saya mengerjakan umrah sebelum ini telah dikabulkan.

“Sememangnya saya sangat bersyukur dikurniakan isteri yang solehah dan banyak membantu saya dalam kehidupan seharian.

“Apa yang lebih penting, tanggungjawab sebagai suami akan saya pikul sebaiknya dan saya akan pastikan Dayana dijaga dengan baik,” kata pemegang watak Ustaz Amirul ini dengan jujur.

Dicuit mengenai destinasi bulan madu, Ashraf menyatakan, buat masa ini dia masih menunggu Dayana menghabiskan semester terakhirnya terlebih dahulu.

“Insya-Allah, jika tiada masalah, kami akan berbulan madu di New Zealand tapi buat masa sekarang, biarlah dia (Dayana) habis belajar dulu, Lagipun saya juga sibuk dengan urusan di pusat rawatan," jelas Ashraf.

Selain itu, bagi isteri kepada pelakon filem Aku Masih Dara ini juga, dia sangat memahami kerjaya yang dilalui suaminya ini.

“Sepanjang berkenalan dengan Ashraf selama setahun, saya faham apa yang dilaluinya lebih-lebih lagi jika ada peminat yang ingin bergambar dengan dia,” ujar Dayana.

Akan terus berlakon

Sebaik ditebak soalan mengenai kerjayanya sebagai pelakon, Ashraf menjelaskan, dia sememangnya tidak berniat untuk mengundurkan diri dari dunia lakonan.

Namun, berdiri di atas rasa tanggungjawab unuk membantu orang ramai yang ingin mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Syifa' Al-Hidayah yang dikendalikan bersama bapa mertuanya, Haji Lokman itu, Ashraf terpaksa melupakan seketika niatnya untuk berlakon.

“Kalau diikutkan, memang saya mahu berlakon dan saya tidak akan berhenti berlakon.

“Tetapi buat masa ini saya sibuk dengan kerja di pusat rawatan. Selain itu, pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, saya akan merawat pesakit di negeri-negeri lain.

“Jadi, wujud pertindasan masa jika saya ingin berlakon. Namun saya percaya, peluang dan rezeki itu ada di mana-mana. Jika ada masa yang sesuai, saya akan berlakon,” ujarnya.

Sementara itu, sebelum mengakhiri perbualan, Ashraf sempat memberitahu mengenai majlis resepsi pihaknya akan diadakan pada 24 September ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Oleh MUHAMMAD SYAFIQ ROOS ANNUAR

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top