Ryan akui walaupun ini kali pertama dia beraksi di rantau Asia, namun dia tetap optimis dengan pembabitannya dalam TSLON kerana tertarik dengan jalan cerita watak serta perjalanan produksi itu yang begitu terancang, mengikut acuan pementasan bertaraf antarabangsa.
Tiara berkata, dia mendapat inspirasi watak Ejen Nora itu daripada filem Melayu klasik, Nora Zain yang pernah dilakonkan Seniwati Saadiah. Namun pementasan itu bukanlah ‘remake’ ke atas filem itu, sebaliknya mempunyai jalan cerita tersendiri serta latar belakang watak berbeza.
Menambahkan lagi tarikan komersial, Tiara turut menyunting pengacara paling popular Aznil Nawawi sebagai Mr J. Barangkali ramai peminat ingin melihat apakah lagi kejutan Aznil selepas berjaya dengan watak Profesor Klon dalam filem Cicak-Man.
Penyanyi terkenal, Adibah Noor turut memegang peranan penting dan kehadiran Adibah pastinya memantapkan lagi sisi vokal pementasan ini. Adibah memegang watak sebagai Khatijah iaitu rakan baik Nora di kala susah dan senang. Seorang lagi pelakon watak penting ialah Stephanie Van Driesen yang melakonkan peranan wanita pesaing Nora.
Pementasan ini bukan saja dipenuhi dengan lakonan dan nyanyian tetapi juga babak aksi dan ‘stunts’ yang hebat, sesuai sebagai pelengkap kisah cinta berbaur ejen perisikan.
Khas bagi mempromosikan teater muzikal ini juga, sebuah klip video lagu Siapa Dia dihasilkan. Ia berupa lagu lama yang pernah dipopularkan penyanyi veteran Zainab Majid tetapi digubah semula oleh Roslan Aziz yang turut bertindak selaku pengarah muzik TSLON.
TSLON diarahkan Steven Dexter dengan skrip tulisan Elliot Davis bagi versi Inggeris dan Mamat Khalid (versi Melayu). Ia akan mula dipentaskan di IB pada 29 September hingga 16 Oktober ini.Tiket boleh dibeli di kaunter box-office IB atau di laman web www.airasiaredtix.com atau telefon 03-87754666 untuk pertanyaan.
0 ulasan:
Catat Ulasan