Astro Oasis memperkenalkan satu lagi program realiti TV bercorak keagamaan iaitu Ustazah Pilihan yang bermatlamat mencari pendakwah muda wanita yang boleh diangkat sebagai ikon pada masyarakat.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sambutan diterima daripada mereka yang hadir menerusi uji bakat diadakan di empat lokasi, Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan.

“Menerusi temu bual ketika uji bakat dijalankan, mereka yang hadir mempunyai bakat besar yang boleh ditonjolkan sebagai muslimah berpotensi.

“Dalam mendekatkan generasi muda dengan program bermanfaat, Ustazah Pilihan menjadi platform terbaik pada mereka yang ingin mengembangkan bakat diri dan berdakwah. Ini juga memberi ruang pada remaja muslimah untuk ketengah atau memperluas bakat mereka,” katanya pada sidang media Ustazah Pilihan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Izelan berkata, kualiti pada diri individu itu diteliti dari aspek latar belakang pendidikan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

“Kita tahu apabila menerbitkan program wanita, wujud masalah seperti wanita yang sudah berkahwin sukar untuk keluar rumah tanpa izin suami.

“Namun, dari uji bakat dijalankan kami dapat melihat kualiti mereka yang hadir termasuk graduan yang mempu–nyai pendidikan dalam bidang pendidikan Islam.

“Dari peringkat awal, lebih 40 peserta melepasi uji bakat sebelum ditapis hingga tinggal 10 peserta. Memang diikutkan kami mengambil 10 peserta tetapi kami tambah satu peserta lagi kerana berasakan dia juga berpotensi.

“Mengenai cabaran, kami melakukan perubahan berbanding Imam Muda apabila peserta didedahkan dengan masalah wanita dan cara bagaimana mereka dapat menanganinya,” katanya.

11 peserta terpilih terdiri, Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah), Nur Aqidah Mawardi (Aqidah), Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah), Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), Masfira Hilman (Fira), Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), Siti Nor Hafidza Razali (Fizah), Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya), Nina Syazmeen Mohd Din (Nina), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti) dan Maryanti Ramle (Yanti).

Bagi Fatimah, 21, dia berbesar hati menyertai program ini dalam menimba pengalaman baru walaupun masih belajar dalam bidang pengajian Islam al-Quran dan Al-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia.

“Saya berhasrat untuk berkongsi ilmu dengan orang lain sepanjang terbabit dalam program ini dan pada masa sama berusaha untuk berdakwah.

“Saya percaya sesuatu ilmu itu harus dituntut dan disebarkan pada orang lain agar ia memberi manfaat pada semua,” katanya.

Yanti, 23, berasal dari Melaka pula berpandangan program ini memberi banyak kelebihan dari aspek pengetahuan dan pendedahan ilmu baru yang ingin disampaikan kepada peserta bersama penonton. Masih bergelar pelajar Ijazah Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa, dia tidak mempunyai masalah untuk memberikan komitmen pada pada program ini.

“Soal memang tidak pernah saya fikirkan apabila diberi peluang menyertai program ini. Pada saya, apa yang penting melihat pada latar belakang peserta yang berbeza, tidak salah untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat,” katanya.

Kesemua peserta ini dibimbing tiga tenaga pengajar, Dr Robiah K Hamzah sebagai mudirah (pengetua) dibantu dua mursyidah (tenaga pengajar, Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan. Program ini dihoskan Siti Rohani Surani.

Untuk episod pengenalan, program Ustazah Pilihan: Pencarian bersiaran pada 22 dan 29 September jam 9 malam manakala Ustazah Pilihan: Detik bermula 3 Oktober ini pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.50 petang.

Mulai 6 Oktober, program Ustazah Pilihan pula bersiaran setiap Khamis jam 9 malam. Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.ustazahpilihan.com.my atau laman sosial, www.facebook.com/UstazahPilihan106 dan http://twitter.com/UstazahPilihan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top