Balai Seni Lukis Negara (BSLN) mengambil inisiatif untuk memperingati jasa dan pengorbanan Allahyarham Syed Ahmad Jamal dengan mengadakan Pameran Syed Ahmad Jamal Dalam Kenangan bermula 18 Ogos hingga 18 Oktober 2011 di Galeri 2A.

Allahyarham Syed Ahmad Jamal

BSLN memaparkan 27 buah karya yang disimpan dalam koleksi himpunan tetap BSLN untuk tatapan peminat-peminatnya. BSLN berharap dapat menghidupkan semula nostalgia beliau selaku Seniman yang dihormati ramai.

Secara rambang, karya beliau menggambarkan perjalanan hidupnya sebagai seorang anak seni dan bagi mereka yang berminat bolehlah mengunjungi pameran tersebut bermula pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

---------------

Allahyarham Syed Ahmad Jamal yang lahir pada 19 September 1929 menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 82 tahun.

Pemergian Seniman Negara yang berasal dari Muar, Johor itu merupakan suatu kehilangan besar bagi negara kerana beliau merupakan satu-satunya tokoh seni moden terulung sepanjang zaman.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan SAJ sangat terkenal dengan keberaniannya mencatatkan peristiwa-peristiwa kemanusiaan termasuk isu-isu politik negara dan dunia dalam setiap perjalanan karya seninya.

Malah pengaruh hasil tangan beliau yang bergaya Ekspresionis Abstrak berasaskan kepada gerak isyarat (gestural) menjadikan beliau pelukis pertama yang menerokai catatan seperti itu melalui karya-karyanya seperti Umpan, Antara Langit & Bumi, Ruang dan On & Off- King's Road.

Karya-karya ini sering menjadi buah mulut kebanyakan peminat seni tanah air negara.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) dan pernah memegang jawatan Pengarah BSLN dari tahun 1983 sehingga 1991.

Dalam pada itu, Allahyarham merupakan seorang pelukis yang berbakat besar dan setiap karyanya penuh dengan nilai-nilai penghayatan untuk tatapan para pencinta seni sehinggalah ke hari ini.

Sebagai seorang seniman, kata-kata popular SAJ iaitu 'kesenian Malaysia bermula sekarang!' secara tidak langsung menjadi indikator penting kepada sebuah era baru seni lukis moden di Malaysia.

Jika dibandingkan dengan pelukis terkenal pada masa kini, mungkin susuk tubuhnya itu tidak dikenali generasi terkini akibat ditelan arus seni hiburan.

Namun nama Allahyarham tetap unggul dan beliau mempunyai pengikut dan peminatnya yang tersendiri.

Malah, tidak salah jika penulis gambarkan beliau sebagai 'otai' yang tiada pencabar berdasarkan anugerah yang pernah diterimanya sepanjang berjuang dalam bidang seni rupa seperti Anugerah Tokoh Seni Negara.

Ketua Pengarah BSLN, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, Allahyarham merupakan seorang seniman yang berjiwa besar dalam meningkatkan lagi bidang kesenian tempatan ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan hasil kesenian Barat dan Eropah.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top