Bunga-bungaan itu ialah dari jenis phalaenopsis, carla lilly, eustoma, matthila, apple blossom dan cherry blossom yang akan mendapat sentuhan magik daripada Nasrul Nasaruddin atau Nas dari penghias pelamin popular, Nas Great Idea.
Nas berkata persiapan bagi menyiapkan mahligai bercirikan New York Glamour itu sudahpun dimulakan sejak jam 3 petang tadi, manakala esok hanya proses menyiapkan sentuhan terakhir.
Katanya selain bunga-bungaan segar, mahligai ini nanti akan diserikan dengan pelbagai hiasan menarik seperti kaki lilin, kotak cermin kaca, rumah lampu bewarna putih, buah-buahan plastik seperti anggur dan lilin yang akan melitupi seantero ruang dewan, di mana kos keseluruhan mencecah sekitar RM330,000.
"Ini adalah pertama kali saya merealisasikan konsep bercirikan perkahwinan glamor New York, di mana suasana di luar dewan nanti akan berubah wajah menjadi laluan serba putih manakala suasana di dalam dewan akan dihiasi dengan beberapa kanopi berlain suasana setiap satu.
"Inilah kelainan yang saya ingin terapkan dalam konsep perkahwinan Norman Hakim dan Memey kerana memang sudah kebiasannya saya hanya akan melahirkan sekali saja konsep atau identiti tertentu dalam mana-mana acara perkahwinan yang saya laksanakan sebelum ini," katanya.
Selepas majlis resepsi di rumah pengantin perempuan di Kota Tinggi, Johor hujung minggu lalu, pasangan itu sekali lagi bakal tampil dengan sebuah majlis resepsi termahal yang pernah dilaksanakan dalam sejarah perkahwinan selebriti tempatan, di mana hanya 200 tetamu diundang.
Nas berkata, dia memerlukan 90 kakitangan untuk menyiapkan mahligai berkenaan dari peringkat mula sehinggalah ianya siap sepenuhnya. Malah hampir keseluruhan barang yang digunakan adalah barang baru khusus untuk resepsi berkenaan.
Istimewa mengenai mahligai ini menurut Nas, apabila tidak akan ada pelamin seperti mana majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang lain kerana konsepnya lebih memberi tumpuan kepada pasangan pengantin dan tetamu untuk beramah mesra, sama sebagaimana majlis resepsi di kota epal itu.
"Inilah yang ingin saya buktikan dalam rekaan saya kali ini yang mana tidak semua majlis resepsi perlu di buat secara besar-besaran dengan jumlah tetamu yang ramai. Saya percaya konsep 'itimate' seperti ini akan menjadi ikutan masyarakat kita tidak lama lagi," katanya.
Selain resepsi Norman Hakim dan Memey, khidmat Nas pernah digunakan bagi menyerikan persandingan Raja SMS, Mawi, pelakon jelita, Datin Paduka Umie Aida dan juga penyanyi muda Tomok.
0 ulasan:
Catat Ulasan