Kali kedua mengisahkan kehidupan pasangan kekasih Redza, lakonan Nas-T dan Qaseh (Faralyna Idris).
Namun kebahagiaan mereka terputus di pertengahan jalan apabila Redza jatuh hati kepada Amira, pembantunya di pejabat yang sering menggodanya. Qaseh kecewa dengan sikap Redza. Kekecewaan Qaseh diketahui Zarin, abang kepada sahabat baiknya, Rina.
Zarin pula sememangnya menaruh hati kepada Qaseh, namun melupakan hasratnya kerana pada waktu itu Qaseh berbahagia dengan Redza. Kini, Zarin berusaha melembutkan hati Qaseh dan banyak membantu Qaseh mendekatkan diri kepada Allah. Akhirnya Qaseh dan Zarin menjadi kekasih.
Namun satu hari, Zarin terkejut melihat kemunculan Redza dalam keadaan tidak terurus. Redza baru sedar dia memilih pasangan salah kerana Amira suka berfoya-foya. Ini membuatkan Qaseh serba salah kerana kasihnya terhadap Redza masih menebal.
Zarin tidak mahu menghalang Qaseh menerima cinta Redza untuk kali kedua kerana tidak sanggup melihat Qaseh kecewa. Redza membawa Qaseh bertemu ibu bapanya. Ibu Redza menyukai Qaseh hinggalah tiba-tiba bapa Redza menjerit nama Qaseh. Siapa Qaseh sebenarnya? Bagaimana bapa Redza mengenali Qaseh dan apakah hubungan mereka berdua?
Mengulas lanjut mengenai watak Qaseh, Faralyna Idris yang semakin dikenali selepas tampil dalam drama bersiri popular Asmara berkata, wataknya sebagai Qaseh banyak bermain emosi selain berdepan banyak konflik dalam kehidupannya.
"Watak Melati dalam Asmara memang jauh bezanya dengan Qaseh kerana memainkan emosi yang lebih dalam serta berdepan pelbagai konflik mengenai cinta selepas mengetahui Redza adalah adik beradik tirinya," kata Faralyna yang bakal membintangi filem Gila-Gila Remaja 2 yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Kali Kedua disiarkan setiap Khamis, jam 8.30 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan