Menerusi rekod Rombongan Jelajah Paling Jauh Oleh Sebuah Stesen Radio Dalam Masa 48 Jam itu, program riuh raya ERAthon anjuran Era FM dan Honda Malaysia sempena Aidilfitri telah memulakan penjelajahan berhari raya di kediaman pendengar-pendengar bertuah bermula 3 dan 4 September lalu.
Perjalanan yang bermula dari Pulai Springs Resort, Johor Bahru yang diikuti Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor, Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu juga tidak ketiggalan untuk mengunjungi rumah-rumah pendengar setia Era FM di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur.
Sepanjang perjalanan program itu juga, 19 orang penyampai dan krew berkonvoi dalam 5 buah kenderaan Honda diiringi pasukan bermotosikal Enduro Malaysian Chapter (EMC).
Menurut pengurus rancangan Era FM, Nazri Noran, sambutan menggalakkan diperoleh daripada pendengar yang menghantar penyertaan atau jemputan melalui laman web www.era.fm.
“Kami juga teruja kerana diberikan peluang untuk menyahut cabaran Malaysia Book Of Records yang tidak datang selalu, namun yang paling penting pengalaman mendekatkan diri dengan pendengar di seluruh tanah air cukup bermakna dan berharga,” katanya yang ditemui ketika majlis menyambut ketibaan rombongan konvoi di Astro Bukit Jalil baru-baru ini.
Menerusi program itu, pendengar yang menyatakan undangan paling kreatif dan unik akan dihubungi oleh penyampai melalui telefon dan perlu dijawab dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Era!’ untuk mengesahkan kehadiran stesen radio itu ke rumah mereka.
Dalam pada itu, peluang terbuka kepada pendengar menerima kunjungan istimewa kerana perjalanan telah disambung lagi pada 17 dan 18 September ini.
Pada 24 September pula (hari ini), penutup tirai Riuh Raya Era FM akan diadakan pula rumah terbuka Era untuk meraikan pendengar terpilih dan penghargaan atas kesudian menerima kunjungan Era FM ke majlis masing-masing.
Berkongsi keriangan berhari raya bersama pendengar setia Era FM, penyampai radio terkenal, Aznil Haji Nawawi, 49, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Nil terharu dengan persiapan luar biasa menyambut kedatangan krew ERAthon.
“Paling menyentuh hati apabila ada antara keluarga di beberapa buah lokasi menganggap saya seperti keluarga mereka sendiri sehingga memanggil saya anak, menangis saya dibuatnya,” katanya yang tidak menyangka sambutan hangat hampir sekampung meraikan kedatangan peserta konvoi.
Pak Nil yang kini sedang sibuk menjalani sesi latihan akhir Secret Life Of Nora mengakui tidak mendapat cuti rehat sempena Hari Raya Aidilfitri dan masih mencabar dirinya untuk kekal aktif biarpun usia kian meningkat.
“Kesibukan saya mengalahkan remaja walau pada usia begini, biar apa orang nak kata saya mencabar diri sendiri untuk mencipta rekod peribadi saya,” katanya yang tidak akan sesekali beralih arah daripada karier sebagai penyampai radio.
Seronok luar biasa Dina, Adi Fashla
Bagi Dina atau Faradina Mohd. Nadzir, 26, pula yang kini sudah tiga tahun bersama stesen radio berkenaan, ERAthon tidak sesekali berbangga dengan semangat sepasukan yang ditonjolkan setiap krew yang terlibat.
“Sejujurnya program ini berteraskan semangat sepasukan, fokus dan setiap orang membantu satu sama lain untuk menjayakan konvoi dari lokasi ke lokasi,” ujarnya yang pertama kali merasa nasi dagang paling sedap di rumah pendengar di Kelantan.
Bekas peserta program realiti Malaysian Idol musim pertama itu juga kini sedang sibuk dengan penggambaran filem Hello arahan A.R Badul dan Jiwa Kacau yang mendukung watak seorang jururawat di sebuah hospital sakit jiwa.
Tidak menjangka berjaya mencipta rekod dalam program ERAthon, bicara penyampai radio kelahiran Tanjung Karang, Selangor, Adi Fashla Juraimi, 33, bertindan tarikh yang sama dengan majlis resepsi perkahwinan abangnya dengan program ERAthon tidak menjadi hal buatnya.
“Mujur keluarga saya semuanya faham dengan tanggungjawab saya, Insya-Allah majlis seterusnya di Kuala Selangor akan saya hadiri,” tuturnya yang peroleh banyak detik manis sepanjang rombongan menjelajah rumah pendengar setia Era FM termasuk dapat merasa hidangan piza bersama buah durian.
~ Kosmo
0 ulasan:
Catat Ulasan