Mula terjun sebagai anak seni dengan membawakan muzik Bhangra, Goldkartz kini semakin melebarkan sayapnya dalam menarik peminat muzik tradisional kaum sikh itu.
Siapa sangka, baru sahaja tampil dengan album kedua pada April lalu, kumpulan yang dianggotai oleh dua adik-beradik itu semakin galak mendapat undangan persembahan di luar sempadan negara seperti Singapura, Thailand, Kanada, India, Australia, Indonesia dan China.
Terbaru, tanpa disangka, Goldkartz berjaya memikat pengarah muzik terkenal Bollywood, Sajid Ali dan Wajid Ali untuk mengangkat naskah yang dihasilkan mereka menjadi salah satu lagu dalam filem arahan Rajiv Mehra, Office-Office yang sudah ditayangkan di 300 buah pawagam di seluruh India.
"Sememangnya kami amat berbangga apabila mendapat peluang begitu memandangkan bukan senang untuk menarik perhatian penggiat seni Bollywood untuk menerima nukilan daripada pihak luar.
"Kami juga agak teruja dan gembira apabila usaha kami dapat menarik perhatian pihak luar di mana dengan peluang sebegini kami dapat menaikkan nama negara," ujar Manjit Singh atau lebih mesra disapa M-Ji, 26.
Menyambung bicara, M-Ji yang juga merupakan seorang peguam menambah, dia sendiri tidak menyangka muzik mereka mendapat sambutan baik daripada peminat di India.
Jelasnya, dalam lawatan Goldkartz ke India bulan lalu, tidak disangka kehadiran mereka ditunggu oleh peminat-peminat di sana.
"Jadual kami sepanjang di sana terlalu padat di mana kami terpaksa menghadiri 10 temubual bersama dengan radio tempatan, tiga rancangan bual bicara dan sidang media.
"Sungguh tidak disangka, kami mendapat liputan yang meluas di sana," katanya.
Seolah-olah bersetuju dengan apa yang diluahkan M-Ji, seorang lagi anggota Goldkartz, Sukhjit Singh, 22, turut tidak dapat untuk menyembunyikan perasaan gembira yang jelas terpancar di riak wajahnya.
Baginya, peluang menonjolkan bakat di tanah India itu memberikan satu pengalaman berharga buatnya.
"Tentu sekali sukar untuk saya mempercayai bahawa kami dapat menarik perhatian peminat di sana maklumlah di sana sendiri mempunyai ramai artis yang berbakat.
"Namun saya cukup gembira kerana itu dapat membuktikan kami mampu untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik sama seperti penggiat seni Bollywood.
"Malah mereka juga seperti tidak percaya bahawa ada bakat yang mampu menghasilkan lagu berirama Bhangra sama seperti penduduk di sana," jelas Sukhjit atau lebih mesra disapa Surj.
Selain itu Surj juga menambah bahawa Goldkartz turut mendapat banyak undangan untuk mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa.
Katanya, selain daripada memenuhi undangan persembahan di luar negara, Goldkartz turut ada menghasilkan lagu-lagu duet bersama dengan penyanyi-penyanyi antarabangsa.
"Seperti sedia maklum, dalam 17 buah lagu yang terdapat dalam album terbaru kami, 24 Kaaratz kami ada berduet dengan artis antarabangsa.
"Antaranya adalah artis dari United Kingdom seperti Rishi Rich, Mumzy Stranger dan Panjabi by Nature (PBN) serta satu kumpulan dari Scotland, Tigerstyle," katanya.
Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan kumpulan Goldkartz mereka bolehlah melayari laman sesawang www.goldkartz.com ataupun laman sosial Facebook dan Twiter dengan menaip Goldkartz.
Jika ada yang ingin mengundang kumpulan berkenaan membuat persembahan mereka bolehlah menghubungi nombor 012-5008889.
0 ulasan:
Catat Ulasan