Julfekar mengaku enggan terus mengheret isu lebih panjang demi kebaikan semua pihak.

Khabarnya anda telah menarik semula saman terhadap Farawahida. Apa cerita ni? Tiga tahun lalu, memang saya ada memfailkan saman terhadap Farawahida.


Tapi sekarang keadaan dah berbeza sebab pihak mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya dia membuat permohonan maaf berhubung isu-isu yang timbul.

Jadi Farawahida sudah buat permohonan maaflah?

Ya. Dia sendiri sudah buat permohonan maaf sebagaimana diperintahkan di hadapan hakim mahkamah, Datuk Nor Bee Ariffin pada 21 September lalu. Saya hadir bersama peguam Noor Bahyah Yahya manakala Farawahida ditemani peguamnya, Farhan Hamid.

Jadi selepas permohonan maaf dibuat, segala hutang piutang yang dituntut sebelum ini macam mana? Kira langsailah?

Hakikatnya memang saya rugi banyak. Tapi saya ambil keputusan untuk terima kemaafan yang dibuat oleh dia di mahkamah. Sebabnya cuma satu, saya tidak mahu mengheret isu ini lebih lama. Bila fikir-fikir balik, kita baru sahaja mengharungi Ramadan dan kini berada di bulan Syawal, rasanya lebih baik saya maafkan saja.

Bukan jumlah yang sedikit tu. Tak rasa rugi ke?

Dah rugi nak buat macam mana? Sekurang-kurangnya dia minta maaf dan menyedari kesilapan yang dia buat terhadap saya. Saya anggap segala hutang itu telah dibayar dengan kemaafan yang dia buat. Itu pun dah memadai.

Tertekan tak sepanjang tiga tahun menunggu proses keputusan mahkamah?

Jujurnya tidak. Malah saya tak fikir sangat pun. Saya banyak tumpu pada kerja saja dan berdoa supaya diberikan jalan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini. Alhamdulillah, sekarang saya terbuka hati menerima permohonan maaf itu.

Agaknya kenapa anda tidak tampil mengeluarkan sebarang kenyataan di mana-mana medium media untuk memberi komen lanjut mengenai isu? Nampak lebih rela mengunci mulut. Cuba jelaskan?

Semuanya sebab saya malas nak jadi orang bodoh. Bosan bercakap hal yang berulang-ulang. Ditambah pula dengan cerita-cerita buruk mengenai saya. Jadi rasanya tak perlu. Bila keputusan mahkamah dah keluar sekarang barulah saya berani berdepan dengan semua pihak sebab bukti sudah ada depan mata dan keputusan mahkamah tiada siapa yang boleh bangkang.

Kononnya sekarang sudah terpampanglah siapa benar dan siapa salah. Begitu?

Tak perlu saya jawab pun orang semua sudah dapat baca dan nilai.

Apa perasaan anda sekarang?

Syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya nama saya sudah dibersihkan dan tindakan saya mengambil jalan tengah telah membuktikan segalanya. Lepas ni tak perlu nak tampil keluarkan sebarang kenyataan mengenai isu ini sebab saya dah tutup buku. Tak perlu ungkit cerita lama dah. Baik saya dan dia, kami masing-masing bawa haluan sendiri. Saya harap semua pihak menghormati keputusan ini. Ini semua dibuat demi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

~ Utusan

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top