Biarpun 35 tahun sudah berlalu, tetapi nama Hail Amir masih terpahat dalam bidang seni suara tanah air. Dia masih popular kerana banyak lagu nyanyiannya terus diminati para pendengar sehingga kini. Penyanyi lagu Wajah Kesayangan Hamba ini juga sudah lama tidak merakamkan album baru.

Hail Amir

Bagaimanapun, itu bukan bermakna dia telah bersara menyanyi. Sebaliknya, Hail masih menerima undangan menyanyi di merata-rata tempat. Penyanyi berusia 56 tahun ini juga sentiasa mengikuti perkembangan bidang nyanyian yang banyak meninggalkan nostalgia kepadanya.

Menurut Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir, dia bangga dengan pembabitannya dalam bidang seni suara selama lebih tiga dekad.

Namun, ada masanya dia seperti tidak percaya bagaimana dia yang asalnya seorang penari boleh mencipta nama sebagai penyanyi popular.

“Saya sebenarnya bukanlah seorang penyanyi tetapi hanya penari kebudayaan di Badan Budaya yang sekarang ini dikenali sebagai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Saya mula menjadi penari pada tahun 1971. Saya bekerja tetap di badan kebudayaan itu sehingga tahun 1975.

“Selama empat tahun itu, saya banyak menimba pengalaman sebagai penari. Antaranya, saya pernah dibawa mengadakan persembahan di London, England pada 1973 iaitu sewaktu MAS (Syarikat Penerbangan Malaysia) mula-mula mengadakan penerbangan terus ke sana.

“Tetapi selepas itu, saya mencuba bakat dalam bidang nyanyian dengan menyertai uji bakat yang dianjurkan oleh syarikat rakaman EMI pada 1975.

“Sejak itu, bermulalah kerjaya saya sebagai penyanyi sehinggalah kini,” katanya kepada S3 baru-baru ini.

Jelas anak kelahiran Kampung Kebun Lama, Pulau Pinang ini, pembabitannya dalam bidang nyanyian bermula selepas dia terlebih dahulu menceburi bidang tarian dan juga sebagai pemuzik dengan mengadakan banyak persembahan termasuklah di luar negara.

Namun, kata Hail, mungkin ramai peminat yang kurang menyedari kemunculannya sebagai penari dan pemain gitar pada ketika itu yang kurang menonjol berbanding sebagai penyanyi sejak tahun 1976 sehinggalah ke hari ini.

“Sewaktu menjadi penari, saya banyak mengadakan persembahan bersama Badan Budaya ke luar negara antaranya di Myanmar, Jepun, Korea, Kuwait, England dan Perancis. Saya juga bermain gitar dalam persembahan-persembahan yang dijayakan oleh Badan Budaya.

“Sayangnya, nama saya kurang menonjol ketika itu. Malah, saya juga kurang puas dengan pencapaian saya sehinggalah selepas saya merakamkan album pertama dengan EMI pada 1976 yang bertajuk Wajah Kesayangan Hamba. Selepas itu, barulah saya dikenali ramai,” ujarnya.

Tambah menguatkan popularitinya, bapa kepada Chintafifi, 28, Chintahailfi, 23, Chintasyafiana, 22, dan Lutfi Ameer, 13, ini apabila dia digandingkan dengan teman duetnya, Uji Rashid yang menjadikan mereka antara pasangan duet yang paling popular ketika era tahun 1970-an.

Datuk kepada tiga cucu ini berkata, bukan sahaja popular pada era itu, malah sehingga kini pun gandingannya bersama Uji Rashid masih diterima ramai di mana mereka terus mendapat undangan menyanyi di merata-rata tempat seluruh negara.

“Sampai sekarang, ramai yang masih meminati lagu-lagu duet saya dengan Uji Rashid terutamanya lagu Antara Matamu Dan Mataku. Saya anggap Uji Rashid adalah pasangan duet saya yang paling serasi sejak dulu sampai sekarang.

“Saya pun kurang pasti mengapa kami diterima oleh para peminat. Mungkin suara saya dan Uji Rashid ada keserasian antara satu sama lain. Walaupun lagu-lagu yang kami nyanyikan ini sudah berusia lebih 30 tahun, namun ia terus diminati sehinggalah ke hari ini,” jelasnya.

Selain masih menerima tawaran menyanyi, Hail yang kini turut menjalankan perniagaan jualan langsung jus epal madu turut diingati kerana filem-filem lakonannya yang berjaya menarik perhatian para remaja pada tahun-tahun 1970-an.

Antara filem awal yang dilakonkannya adalah Jiwa Remaja arahan Datuk Jamil Sulong yang turut menggandingkannya dengan Uji Rashid pada tahun 1975. Sejak itu Hail semakin banyak menerima tawaran berlakon filem.

“Populariti saya sebagai penyanyi dan pelakon ketika itu berjalan seiring.

“Selepas filem Jiwa Remaja, saya berlakon dalam filem lain seperti Cinta Dan Lagu, Sesejuk Air Mata Ibu, Ribut Barat dan Dendang Perantau,” katanya mengimbau kenangan lalu.

Kini pada usia lebih separuh abad, Hail banyak menghabiskan masa bersama anak-anak dan cucu-cucunya, selain memenuhi undangan menyanyi dan menjalankan perniagaan jualan langsung bagi menyara kehidupannya.

Oleh ABD. AZIZ ITAR

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top