Filem Jalan Pintas ditayang di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC (JAFF)

Filem bebas, Jalan Pintas dijemput untuk ditayangkan di Festival Filem Asia Jogja-NETPAC (JAFF) ke-8 pada 29 November hingga 7 Disember depan.

Jalan Pintas yang diarahkan Nam Ron adalah satu-satunya filem yang dipilih manakala filem epik, Hanyut arahan U-Wei Haji Saari dipilih sebagai filem pembukaan.

Filem bertemakan drama kehidupan sosial itu bakal ditayangkan di Taman Budaya Yogyakarta dan Empire XXI Cineplex pada 7 Disember.

Penerbitnya Faisal Mustaffa berkata, peluang berkenaan adalah satu pengiktirafan untuk penerbit baru sepertinya.

"Saya bersyukur kerana filem ini diterima di peringkat antarabangsa sungguhpun ia filem pertama terbitan saya dan Rumah Anak Teater.

"Sebagai pembikin filem, impian saya agar ia dapat ditayangkan di pawagam di negara sendiri.

"Malangnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) membuat 19 potongan terhadap filem ini dan ia mencacatkan keseluruhan penceritaan. Mujur Jalan Pintas diterima baik di negara luar," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Filem nukilan penulis skrip Ayam Fared itu dipaparkan dalam seksyen `non-competition feature film festival' berkenaan di samping karya dari Filipina, Singapura, Jepun, Iran, Thailand, China dan India.


Ia mengisahkan seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga.

Filem ini dibintangi antaranya oleh Auf Razak, Sharifah Amani, Beto Kusyairy dan Bront Palarae.

Sementara itu, Nam Ron berkata, paparan realiti dalam naskhah itu mungkin menjadi faktor tarikan sehingga diberikan peluang tayangan pada festival terbabit.

"Inilah filem yang menampilkan kehidupan sebenar berdasarkan realisme. Projek filem ini menyerlahkan bakat bintang filem tempatan yang sukar untuk mereka perolehi dalam filem-filem arus perdana," katanya.

JAFF adalah festival filem Asia terulung di Indonesia yang memfokuskan kepada pembangunan wayang di Asia. JAFF bekerjasama dengan NETPAC (Network for the Promotion of Asian Cinema), sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai 30 negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top