Lagu berjudul Sandiwara Cinta nyanyian kumpulan Repvblik begitu hangat diputarkan di corong radio. Irama melankolik dengan lirik yang mengisahkan kesedihan seorang jejaka apabila kekasihnya curang itu begitu pantas memikat hati pendengar.

Bukan saja menawan hati pendengar dengan melodi dan seni kata yang menyentuh emosi, cara penyampaian vokalis kumpulan dari seberang, Ruri, turut memberi impak, membolehkannya untuk digilai peminat di sebelah sini.

Ruri yang bertanggungjawab mencipta melodi dan lirik itu mendedahkan, Sandiwara Cinta berupaya memikat hati peminat kerana ia dihasilkan berdasarkan kisah hidup sendiri.

"Dia berlaku curang selepas dua tahun kami menjalinkan hubungan cinta.

"Lagu ini saya hasilkan sekitar 2011 dan segala rasa hati saya luahkan di dalamnya. Sewaktu merakamkan lagu ini di studio, saya menangis kerana terlalu sedih dengan apa yang berlaku," cerita Ruri .

Tanpa diduga, cerita Ruri lagi, sebaik saja lagu berkenaan meniti di bibir peminat, bekas kekasih kembali menghubunginya dan berhasrat mahu menyambung tali cinta yang pernah putus.

"Dia menelefon dan menyatakan hasrat mahu kembali kepada saya. Namun, saya belum berkesempatan untuk berjumpa dengannya," ujar jejaka ini yang sehingga kini belum menemui pengganti.

Peluang tawan hati peminat Malaysia

Populariti lagu terbabit nyata membuka ruang peluang lebih besar untuk Repvblik mendekati peminat mereka di negara ini, selepas percubaan sebelum ini menemui jalan buntu.

"Saya akui cukup sukar untuk kami menembusi pasaran di Malaysia sebelum ini menerusi lagu Hanya Ingin Kau Tau. Bukan tidak dikenali, cuma sambutan diberikan bukan seperti yang diterima ketika ini," ujar pemuda yang dilahirkan dengan nama Ruri Herdian Wantogia ini.

Sandiwara Cinta dipetik daripada album keempat mereka yang berjudul Transisi.


Album Repvblik

* Punya Arti (2007)

* Hidupku di JalanMu (2007)

* Aku dan Perasaan Ini (2009)

* Transisi (2011)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top