Misteri Villa Nabila difilemkan

Misteri banglo usang, Villa Nabila berhampiran Danga Bay, Johor Bahru yang menjadi topik hangat berikutan kes remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan hilang di kediaman yang didakwa berhantu itu, bakal difilemkan.

Kisah `penunggu' yang dikatakan menghuni Villa Nabila sejak ditinggalkan kira-kira 40 tahun lalu dan kejadian mistik yang dikaitkan dengan banglo itu, menarik minat Penerbit MIG Pictures, David Teo untuk merakamkannya dalam projek filem dokumentari terbaru.

Mengambil formula filem dokumentari Highland Tower terbitannya yang meledak di pawagam dengan kutipan lebih RM3.5 juta, MIG melihat Villa Nabila mampu menjadi subjek kuat dalam projek layar perak.

David berkata, walaupun pihaknya membuat kajian di beberapa lokasi lain, misteri melingkari Villa Nabila cukup berpotensi untuk dikupas dan didokumentasikan.

"Bukan bermakna saya percaya benda tahyul. Macam Highland Tower, kita lakukan penyelidikan dulu sebelum ke lokasi. Tambahan pula, tempat itu ada kisah tersendiri untuk diketengahkan apatah lagi banyak versi yang ditokok tambah hingga ramai ingin tahu cerita sebenar.

Rakam `footage' sebenar

"Namun, projek Villa Nabila ini masih dalam perancangan kerana ada beberapa lokasi lain yang sesuai dijadikan sandaran filem dokumentasi ala Highland Tower. Kita tengok dulu kesesuaian dan persetujuan individu yang bakal dipertanggungjawabkan sebagai pengarah projek itu," katanya.

Bagaimanapun, David enggan berkongsi lokasi lain untuk filem terbarunya, sebaliknya menegaskan, MIG perlu menghasilkan produk setaraf Highland Tower yang diarah Pierre Andrea.

Tidak kisah andai dituduh mengambil kesempatan atas insiden Villa Nabila yang menjadi bualan ramai, David berkata, peluang yang ada tidak harus dilepaskan.

Tambah lagi, katanya, Villa Nabila disenaraikan Expedia antara tempat berhantu selain Kellie Castle di Batu Gajah, Perak; banglo kosong di Bangsar dan Ria Apartmen di Genting Highlands.

David berkata, pihaknya tidak akan menokok tambah kisah di sebalik misteri Villa Nabila jika projek itu dilaksanakan.

"Andai projek ini diteruskan, ia masih berkonsepkan sama iaitu pengalaman sebenar pelakon dan pengarah yang dirakamkan secara langsung di tempat kejadian. Kami faham, paparan Highland Tower tempoh hari dengan teknik kamera bergerak membuatkan penonton muntah dan pening. Kami tidak boleh berbuat apaapa kerana itulah footage sebenar. Jika gambar dirakam seperti biasa, ia seperti penggambaran bukan sesuatu yang benar," katanya.

Misteri Villa Nabila

Pelakon, kru perlu ambil risiko

Ditanya sama ada sudah memilih barisan pelakon dan sutradara untuk projek filem dokumentari Villa Nabila, David berkata, setakat ini dia masih menanti persetujuan mereka yang ingin melakukannya secara sukarela.

Berbeza dengan penerbitan filem lain, bagi projek filem dokumentari, David enggan memaksa berikutan risiko yang perlu dihadapi kru serta barisan pelakon seperti dalam projek Highland Tower.

"Setakat ini, saya belum berbincang dengan Pierre mengenai susulan filem Highland Tower. Saya belum tahu sama ada dia berminat untuk projek susulan. Namun, saya tidak akan memaksa, peluang ini saya buka kepada semua termasuk pelakon. Siapa berani datanglah.

"Filem begini lebih banyak cabarannya. Siapa yang berani apabila berkaitan perkara mistik? Macam Shima Anuar, dia benarbenar diserang histeria dalam filem itu. Kalau tidak kuat semangat, belum tentu dia dapat masuk ke tempat itu. Kita tunggu saja perkembangan projek Villa Nabila," katanya.

Andai mengikut perancangan, penggambaran filem dokumentari Villa Nabila mahu dilaksanakan secepat mungkin, selewatlewatnya awal tahun depan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top