Sanggup bertandang ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis pelancaran kempen Give Me 5, baru-baru ini, anggota kumpulan remaja dari Australia, Hi-5 teruja bertemu peminat cilik di sini, biarpun jadual mereka padat.

Walaupun Hi-5 yang dianggotai Stevie Nicholson; Lauren Brant; Dayen Zheng; Ainsley Melham dan Mary Lascaris sibuk dengan aktiviti jelajah di benua kanggaru, mereka sempat `lari' daripada komitmen di Australia untuk menjayakan majlis dianjurkan Dumex Mamil All N One.

Tampil dengan berita gembira, kumpulan Hi-5 mengumumkan mereka akan mengadakan konsert Hi-5 House Party di Kuala Lumpur pada 27 Disember depan. Konsert istimewa ini khusus untuk peminat yang merangkumi kanak-kanak berusia dalam lingkungan dua hingga lapan tahun.


Mewakili kumpulannya, Lauren berkata, mereka teruja bertemu peminat yang dianggap keluarga Hi-5 dalam konsert istimewa.

"Kami tidak kisah datang dari jauh semata-mata untuk peminat. Ini kerana kami suka mengembara dan melihat negara orang.

"Memikirkan kami bangun daripada tidur dan menggembirakan kanak-kanak, perasaan itu paling istimewa. Apa yang penting, kami bukan saja menghiburkan kanakkanak, malah memberi pendidikan berhubung pemakanan yang baik untuk kanak-kanak," katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Urusan Danone Dumex Malaysia Sdn Bhd, Connie Ang dan Pengurus Pemasaran Danone Dumex Malaysia Sdn Bhd, Christiaan Uittenbosch.

Lima peminat kongsi pentas

Hi-5 yang memenangi Anugerah Muzikal Kanak-Kanak Australia tampil dengan muzik pop kontemporari dalam dunia imaginasi penuh warna-warni dan menyeronokkan.

Tidak hairanlah, mereka cukup dikenali kanak-kanak di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Bakal melancarkan siri terbaru awal tahun depan, Hi-5 House pasti meningkatkan populariti kumpulan ini di Asia Tenggara.

Dalam perkembangan lain, lima kanak-kanak bertuah akan dipilih beraksi di pentas bersama Hi-5 pada konsert yang bakal diadakan di KLPAC pada 27 Disember depan.

Bagi yang kurang mengenali Hi-5, siri popular Hi-5 menggabungkan cerita, penyiasatan, imaginasi dan pengembaraan untuk menggalakkan kanak-kanak meneroka dunia melalui pergerakan, gelak ketawa dan muzik rancak. Dengan Hi-5, pembelajaran lebih menyeronokkan, riang dan terbuka.
~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top