Spy Kampung dan Derhaka Seorang Cinderella tersingkir untuk meneruskan perjalanan di dalam Liga Lawak Superstar (LLS) bagi kumpulan A apabila diumumkan sebagai kumpulan pertama yang tersingkir daripada program realiti yang berlangsung di Studio Finas, Hulu Klang, kelmarin.

Sementara itu, 'Apa Kasih Toq' yang mengumpul markah tertinggi sebanyak 184 markah  dan 'Aku' yang meraih 177 markah berjaya mara ke pusingan separuh akhir LLS bagi mewakili kumpulan A itu.

Sedikit mengenai pusingan kelmarin, LLS yang bertemakan 'sarkas' menyaksikan persaingan sengit terhadap kesemua peserta termasuk  Spy Kampung yang dianggotai Farouk Hussien, Zalif Sidek dan Syafiq Kyle serta Derhaka Seorang Cinderella (Hamdan, Amyza Aznan dan Aman Nassim), meskipun nasib tidak menyebelahi mereka.

Apa Kasih Toq (Didie Alias, Kamal Adli, Fizz Fairuz) dan Aku (Bell Ngasri, Idzham Ismail, Hairi Safwan) bagaimanapun berjaya menunjukkan kehebatan mereka dalam lima pusingan iaitu
Lawatan Galeri Seni, Bonekarama, Debat Lebat Hebat, Mendahi dan Karaoke Uncle Helium selama tiga minit tanpa menggunakan skrip dalam rancangan ini.


Bagi pusingan pertama, menyaksikan gandingan dua kumpulan iaitu Spy Kampung dan Apa Kasih Toq beraksi dalam cabaran ‘Lawatan Galeri Seni’.

Padat dengan aksi lucu yang mencuit hati penonton, dua lagi kumpulan iaitu Aku dan Derhaka Seorang Cinderella menyusul dengan persembahan mereka di tahap yang terbaik menerusi cabaran Bonekarama.

Pentas Liga Lawak Superstar dihangatkan lagi dengan gelagat penampilan kali kedua oleh kumpulan Spy Kampung dan kumpulan Apa Kasih Toq menerusi sketsa ‘Debat Lebat Hebat’.

Kumpulan Aku dan Derhaka Seorang Cinderella pula bersaing dalam pusingan seterusnya iaitu ‘Mendahi’.

Sebelum melabuhkan tirai persaingan minggu ini kesemua kumpulan menggegarkan studio Finas dalam cabaran terakhir iaitu  ‘Karaoke Uncle Helium’.

Gimik LLS?

Meskipun sudah memberikan yang terbaik, namun penyingkiran dua kumpulan Spy Kampung dan Derhaka Seorang Cinderella secara serentak dilihat sebagai gimik dan strategi pihak pengurusan bagi menarik perhatian penonton.

Pengurus Besar Penjenamaan TV3 Siti Nurlisia Mohd Nadzri, bagaimanapun berkata, keputusan menyingkirkan dua kumpulan itu hanya dilakukan selepas perbincangan dengan pihak pengurusan.

“Pada minggu ini, kami memang sudah memutuskan untuk menyingkir dua peserta secara serentak.

“Keputusan untuk membuat dua penyingkiran secara serentak pada minggu ini diambil memandangkan tiada penyingkiran berlaku selama empat minggu.

“Jika mengikut perancangan awal, perkara ini telah ditetapkan mengikut format sebelum pertandingan bermula lagi bagi musim ini,” katanya.

Menurutnya, format baru ini memberi peluang kepada para peserta selama empat minggu untuk menunjukkan prestasi masing-masing.

Tegasnya, dua minggu beraksi di pentas Liga Lawak Superstar mungkin tidak cukup tetapi realitinya perkara tersebut perlu ditempuhi dua kumpulan yang tersingkir minggu ini.

Giliran kumpulan B

Selepas dua kumpulan daripada Pasukan A tersingkir, minggu hadapan pula bakal menyaksikan dua lagi kumpulan B terpaksa meninggalkan pentas LLS.

Pasukan B yang terdiri daripada kumpulan Asmara Luna (Riezman Khuzaimi, Aidil Aziz, Ropie), OMG (Anas Ridzuan, Akim Ahmad, Sathia), Aku Diandra (Sheera Iskandar, Qazeem Nor, Ilya) dan Ayoub Lasak (Iqram Dinzly, Mikail Andre, Aziz M. Osman).

Siapakah yang bakal tersingkir dan pasukan mana yang akan mara ke separuh akhir bakal terjawab minggu depan.

Setelah dua minggu Pasukan B berentap pada minggu pertama dan ketiga, pasukan OMG dan Aku Diandra mendahului dua pasukan lain setiap minggu.

Mungkinkah OMG dan Aku Diandra layak ke pusingan separuh akhir untuk bertanding di peringkat akhir?

Walaupun kumpulan Ayoub Lasak dan Asmara Luna sering berada di kedudukan tercorot, mungkin minggu ini mereka akan mencipta kejutan.

Semuanya bakal terjawab pada minggu hadapan.

Sepanjang 10 episod, LLS menampilkan Afdlin Shauki dan Adibah Noor sebagai pengacara program. Selain itu, Liga Lawak Superstar turut menampilkan nama besar dalam industri tanah air iaitu Ida Nerina, Vanidah Imran dan Adlin Aman Ramlie sebagai juri tetap untuk program ini.

Hanya 2 pasukan yang terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir untuk merebut gelaran Juara LLS dan juara akan membawa pulang RM250,000!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top