Jongkong emas berukir 'Fizo Love Mawar' menjadi hantaran paling istimewa pelakon Wan Hafizol Wan Omar atau Fizo, 28, buat isteri tersayang, Mawar Abdul Karim, 24, yang selamat dinikahinya dengan hanya sekali lafaz di Country Heights, di sini, semalam.

Bukan sekadar jongkong emas seberat 1.011 kilogram itu, Mawar juga menerima mas kahwin berjumlah RM506 daripada Fizo. Bahkan, Fizo juga menghadiahkan sebuah Vespa sebagai salah satu barangan hantarannya buat Mawar.

Pasangan Fizo dan Mawar sah bergelar suami isteri tepat jam 9.32 pagi selepas dinikahkan Pegawai Tadbir Agama Daerah Hulu Langat Ustaz Mohd Arif Abdul Samad yang turut disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di TV9, semalam.

Fizo yang ditemui selepas majlis pernikahan itu berkata, dia sangat bersyukur kerana impiannya untuk menjadikan Mawar sebagai teman hidup menjadi kenyataan. Apatah lagi, bukan mudah bagi Fizo menambat hati isterinya itu.


"Pemberian jongkong emas kepada isteri memang sudah menjadi hasrat saya yang pernah disuarakan kepada ibu, Hasnah Jidin, 53. Bahkan, ibu amat memahami dan menyokong impian saya itu," katanya.

Sah menjadi menantu kepada pengasas jenama tudung terkenal Fareeda, Faridah Zakaria, anak jati Kelantan ini berkata, dia jatuh cinta kepada isterinya, Mawar kerana mereka memiliki minat sama dalam perniagaan dan ketegasan ketika bekerja.

Mawar yang memegang jawatan sebagai Pengurus Pemasaran Tudung Fareeda juga aktif dalam mengusahakan perniagaan keluarganya. Apatah lagi, Fizo pula sekarang sibuk menjalankan perniagaan Hot Burger dimilikinya.

Pada majlis pernikahan itu juga, Mawar turut menerima barangan hadiah istimewa daripada ibu mentuanya berupa seutas gelang tangan selepas acara akad nikah. Antara hantaran lain diterima Mawar seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan cincin berlian putih.

Fizo pula menerima hantaran berupa tas tangan lelaki, kasut, kaca mata hitam, dua naskhah al-Quran, plat motosikal MF120, topi keledar, komputer riba dan juga sebuah motosikal berkuasa tinggi 1200cc jenama Ducati.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top