Sarimah Ibrahim deejay Red FM

Red FM dipercayai sudah melamar pelakon dan pengacara Sarimah Ibrahim sebagai deejay dan difahamkan Sarimah akan mula bertugas pada awal Februari 2012 bagi mengisi slot pagi stesen itu.

Sarimah bagaimanapun enggan mengulas mengenai khabar angin itu sebaliknya berharap peminat dapat menunggu sehingga pengumuman rasmi dilakukan dalam satu sidang media khas pada 10 Februari depan.

Sarimah Ibrahim

“Seperti yang kerap saya kemas kini dalam Twitter sejak kebelakangan ini, saya akan mula bertugas sebagai penyampai di sebuah stesen radio berbahasa Inggeris bermula Februari depan.

“Buat masa ini, saya tidak dibenarkan untuk bercerita lanjut tentang butiran tawaran itu termasuklah nama stesen radio terbabit sehingga pengumuman rasmi dilakukan dalam satu sidang media nanti,” katanya.

Ditanya tentang perasaannya berhubung tanggungjawab baru itu, Sarimah berkata selain berdepan kesulitan untuk mempelajari aspek teknikal dalam penyiaran radio, dia juga berharap kelompok peminat Melayu yang mengikuti kerjayanya selama ini dapat mendengar stesen radio berkenaan kelak.

“Saya berharap para peminat Melayu yang menyokong aktiviti seni saya dalam medium bahasa Malaysia selama ini akan mengikuti saya di stesen berbahasa Inggeris tersebut pula.

“Saya bimbang juga kalau kelompok peminat ini ragu-ragu untuk mendengar kerana isu bahasa tetapi saya beri jaminan hanya akan menggunakan bahasa Inggeris yang ringkas dan mudah difahami tanpa slanga tertentu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, duta produk Reebok ini mengesahkan buku motivasi tulisannya yang berkaitan isu psikologi sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu waktu yang sesuai untuk diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan buku popular pada pertengahan tahun ini.

“Saya gembira kerana baru sahaja menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat penerbitan buku untuk mengeluarkan buku motivasi pertama saya. Buku itu masih belum mempunyai tajuk tetapi akan diterbitkan dalam dwi-bahasa, bahasa Malaysia dan Inggeris,”

~ Mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top