Setelah enam tahun berada dalam industri, kumpulan 6ixth Sense kini boleh tersenyum bangga apabila karya mereka menjadi siulan ramai. Mereka berjaya membuktikan tanpa kontroversi, 6ixth Sense juga mampu meraih populariti asalkan lagu-lagu yang dicipta mampu menambat selera pendengar.

 

Satu kejayaan manis kumpulan ini pastilah menjuarai program Gah 1 musim ke 8 menerusi lagu 'Khatimah Cinta'. Terbaru, kumpulan ini dinobatkan sebagai Artis Mobile Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) yang diadakan pada 4 April lalu.

 

Selepas satu demi satu kejayaan diraih, baru-baru ini 6ixth Sense mengadakan satu majlis kesyukuran bagi berkongsi kejayaan mereka itu bersama mereka yang banyak memberi sokongan kepada mereka, termasuklah peminat. Apa yang dilakukan oleh 6ixth Sense ini memang layak diberi pujian kerana ia tanda mereka tidak melupakan orang di sekeliling.

 

Namun, timbul pula isu lain ketika majlis kesyukuran itu berlangsung. Tindakan 6ixth Sense yang hadir ke majlis dengan sebuah Toyota Alphard dan menunggu masa yang lama untuk keluar daripada kenderaan memberi gambaran kumpulan ini sudah mula berangan sebagai superstar.

 

Sudahlah begitu, sebaik keluar daripada kereta, mereka terus membuat persembahan tanpa bertegur-sapa dengan tetamu yang sudah lama menungu. Ramai yang berpendapat, tindakan 6ixth Sense itu agak kurang sesuai memandangkan ia sebuah majlis kesyukuran. Adalah lebih baik acara yang disertai bacaan doa itu diadakan dengan cara sederhana.

 

Mengulas tentang insiden itu, vokalis kumpulan ini, Adi Priyo Sambodo atau Adi berkata, dia dan anggota kumpulan yang lain pun tidak menyangka kehadiran mereka di majlis itu akan dibuat dengan cara itu. Jelas Adi, apa yang berlaku adalah di luar kawalan mereka dan berharap orang tidak salah faham.

 

"Saya dan kawan-kawan pun tidak sangka boleh jadi macam itu. Itu bukan idea kami. Kami ingat sebaik sahaja sampai di restoran itu, kami boleh keluar daripada kenderaan terus dan berjumpa dengan tetamu yang sudah lama menunggu. Tetapi, perkara sebaliknya berlaku. Kami diarahkan supaya tidak keluar daripada kenderaan.

 

Sewaktu menunggu dalam kereta pun kami rasa serba-salah sebab tidak mahu orang kata kami ini berangan. Terus-terang saya katakan, kami tidak menggangap kami adalah superstar. Gelaran itu masih jauh untuk dicapai. Harap pihak media dan peminat yang hadir pada hari itu tidak tersalah faham. Kami tahu di mana kedudukan kami sekarang ini,'' jelas Adi merendah diri.

 

Dalam masa yang sama, Adi juga mengakui 6ixth Sense masih kurang yakin yang mereka mempunyai peminat walaupun telah beberapa kali memenangi anugerah. Menurut Adi, atas sebab itulah sehingga kini 6ixth Sense masih tidak muncul dengan sebarang showcase solo.

 

"Kalau persembahan yang melibatkan ramai artis itu memang kami sudah selalu terlibat, tetapi untuk persembahan solo, kami masih belum yakin untuk lakukannya. Bimbang tidak ada peminat yang hadir memberi sokongan.

 

Kalau ikut pengalaman ketika persembahan sebelum ini, memang kami mendengar peminat melaung-laungkan nama kumpulan kami, tetapi itu tidak cukup meyakinkan kami untuk membuat persembahan solo. Tunggulah dahulu,'' ujar Adi lagi.

 

Sebagai makluman, sehingga kini, 6ixth Sense berjaya mendapat muat turun digital lebih satu juta daripada lagu-lagu yang dimuatkan dalam album + – x ÷ (Tambah Tolak Darab Bahagi). Dengan perkembangan ini, album itu akan dicetak semula bagi memenuhi permintaan yang peminat yang masih ingin mendapatkan album itu.

 

Selain Adi, ini turut dianggotai oleh Mohd Faiz Azizi Arlis (Gjie-gitar utama), Muhammad Fairos Ramli (Ayoy-bass), Mohamad Safwan Hasnan (Wan-drum) dan Shahrul Effendy Sha'ri (gitar kedua).






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top