KUALA LUMPUR: Tiga penyampai radio iaitu deejay Lin, 36, dari Suria FM, deejay Aanantha, 34, (THR Raaga) dan deejay Jack Lim, 36, (MY FM) dilantik sebagai duta kempen Proton Pesona – Sememangnya Lebih Sempurna.

Melalui kempen tersebut, mereka berpeluang mendekati golongan tertentu dan mencuba pelbagai aktiviti menarik yang telah diatur.

Bagi Lin, dia akan mendekati golongan ibu tunggal di kalangan orang Melayu dan berkongsi pengalamannya sejak bergelar ibu tunggal selama lima tahun lalu.

Tujuannya adalah untuk memberikan semangat dan inspirasi kepada golongan tersebut agar tidak berasa rendah diri selain berupaya menempuh kehidupan.

“Saya akan terlibat dengan program ‘Hari Memperkasakan Diri’ pada 18 Jun depan khusus untuk ibu tunggal. Dalam program tersebut, saya akan berkongsi cerita dan pendapat dengan mereka untuk meningkatkan semangat.

“Selain itu, saya akan menjadi mentor kepada tiga orang ibu tunggal yang akan dipilih” kata Lin ketika sidang media pada majlis pengumuman duta kempen tersebut di Delicious, Marc Residence, di sini, Selasa.

Lin juga akan menyiarkan drama bersiri selama seminit bermula 1 Mei depan selama dua minggu. Ia akan disiarkan pada pukul 8.15 pagi dan ulangannya 5.15 petang.

Sementara Aanantha menyasarkan bengkel untuk golongan kanak-kanak dan remaja India berusia antara 7 hingga 18 tahun.

“Saya juga akan memilih tiga orang peserta untuk merakamkan semula salah sebuah lagu dari album saya dan dimuatkan dalam sebuah klip video.

"Selain itu, saya akan membawa kanak-kanak dan remaja untuk melawat rumah anak yatim serta melakukan kerja amal seperti mengecat dan membersihkan rumah,” katanya yang mengendalikan slot Pagi Ceria bersama-sama Deejay Uthaya pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6 hingga 10 pagi.

Berbeza pula dengan Jack, dia mengimpikan untuk memandu kenderaan dari Perlis ke Johor serta mengajak golongan dewasa Cina melawat rumah orang tua.

“Saya mahu mengajak semua orang berkonvoi memandu sejauh dari Perlis ke Johor dan melihat berapa banyak minyak petrol yang digunakan kerana setahu saya kereta Persona jimat petrol.

“Selain itu, saya akan memilih tiga orang untuk menunaikan impian mereka yang paling mencabar atau lasak,” katanya yang setakat ini sekadar memandu sejauh Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Sempena pelantikan mereka sebagai duta acara berkenaan, ketiga-tiga deejay tersebut turut menerima sebuah kereta Proton Persona tajaan Proton Holdings Berhad.

Setiap penyertaan program dan aktiviti yang dikendalikan oleh mereka boleh diikuti menerusi www.protonpersona.com.my. Kempen tersebut bermula April hingga Ogos ini.





0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top