PERTUTURANNYA meluncur laju, layaknya kerana dia seorang pengacara program televisyen. Namun, untuk kesesuaian satu lagi profesion, Shera Aiyob cuba memperlahankan patah katanya.

"Sudah terbiasa," ujarnya yang merupakan pengacara Wanita Hari Ini. Sekarang, dia meneroka sebuah lagi dunia baru dengan penuh debar.

Menyandang gelaran aktres, kebolehan Shera bakal ditentukan melalui filem keduanya, Karak. Filem itu bakal ditayangkan pada 26 Mei ini.

Sebelum ini, pemegang Diploma Pengajian Media dari Institut Media Integratif Malaysia (MIIM) ini sudah mencuba gear pertamanya melalui filem Sesuatu Yang Tertinggal.

Bagaimanapun, Karak bakal menentukan pandangan dan pendapat khalayak mengenai bakat barunya ini.

"Jujurnya, filem seram atau hantu yang pernah saya tonton boleh dibilang dengan jari.

"Apabila dapat tawaran berlakon filem seram (Karak), saya tidak tahu bagaimana ketakutan itu boleh dilawan," ujarnya yang mengajak adik dan rakan-rakan menemaninya menonton filem hantu untuk kajian lakonannya.

"Terdetik juga, bolehkah saya menjalankan tugasan baru ini. Namun, saya tahu inilah cabaran yang saya mahukan. Sebenarnya saya seorang pemalu dan sukar mengekspresikan perasaan.

"Tetapi saya pegang kata-kata Zahiril Adzim bahawa lagi buruk wajah dalam lakonan lagi cantiklah lakonan kita," ujarnya tersenyum manis apabila menyebut nama si buah hatinya itu.

Hasilnya Shera membawakan watak Zura dalam filem arahan Yusry KRU itu.

Dalam filem tersebut, Zura ialah seorang yang kuat agama tetapi kemudian terlalai di pertengahan hidupnya.

Bergandingan bersama pelakon seperti Shahir (AF), Along Eyzendy dan Kilafairy, Shera mengaku dia mempunyai hubungan kimia yang baik dengan semua pelakon tersebut.

"Sutradara Yusry ada mengusik saya yang berkulit agak sensitif dan merah-merah digigit serangga.

"Tetapi syukur sepanjang penggambaran tiada perkara pelik yang terjadi," kata aktres ini yang sudah terbiasa mendengar kisah di Lebuh Raya Karak seperti misteri kereta Volkwagen kuning dan suami isteri diganggu makhluk halus.

Ditanya tentang kepercayaannya terhadap cerita hantu tempatan, Shera memberi jawapan bernas.

"Saya rasa filem hantu tempatan agak boleh diramalkan kesudahannya. Jalan ceritanya juga lebih kurang sama. Namun, kita tidak boleh salahkan pengarah kerana mereka ada kekangan masing-masing.

"Soal bajet mungkin mengehadkan kreativiti namun apa yang saya perhatikan, industri filem sedang mengalami peningkatan," ujarnya.

Debaran Shera kian kencang menantikan respons peminat terhadap hasil lakonannya.

Gadis 26 tahun ini juga disentuh perihal debaran berganda kerana dia bakal 'ditanda' sang kekasih.

Pada 1 Mei ini, Shera akan menjadi tunangan aktor berbakat besar, Zahiril Adzim.

Sheira membuka cerita, awalnya dia dan Zahiril yang disatukan dalam produksi Sesuatu Yang Tertinggal tidak mesra dan hanya bertegur sapa atas dasar kerja.

"Selepas itu, kami mula keluar minum beramai-ramai. Saya tahu dia menyukai saya daripada gerak-gerinya.

"Secara semula jadi perkenalan itu bertukar menjadi rapat dan Ahad depan saya bakal menjadi tunangannya.

"Zahiril itu orang yang kelakar, penyayang dan memang menyenangkan. Dia seorang pemerhati," ujar Shera.





0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top