KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan penerbitan teater autobiografi Tun Mahathir, kini CTRA Production bakal mengadakan pementasan Teater Mak Dara Nyonya yang bakal berlangsung pada 6 hingga 12 Julai depan di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, di sini.
Teater di bawah kerjasama Matic dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengisahkan tentang perjalanan dan kesengsaraan hidup pengasas Jamu Mak Dara, Ibu Halimah serta kisah seorang nyonya dari Indonesia.
Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Attan, bajet teater yang ditaja oleh Jamu Mak Dara Sdn Bhd itu merupakan yang termurah berbanding penerbitan teater-teater lain apabila ia hanya mengeluarkan kos sebanyak RM250,000 sahaja.
“Sebenarnya teater ini bukan untuk komersial ataupun mengaut keuntungan kerana kami sasarkan untuk membuat pementasan berskala kecil.
“Tambah pula ia tidak membabitkan peralatan pentas yang banyak. Sebaliknya teater ini lebih kepada mutu lakonan setiap watak yang menjayakannya.
“Bagaimanapun, kami masih lagi mencari penaja untuk memeriahkan lagi teater ini,” katanya.
Tambah Rohayah, pihaknya telahpun mempunyai barisan pelakon bagi menjayakan teater tersebut, cuma masih lagi mecari pelakon sesuai bagi memegang watak Mak Dara.
Antara pelakon yang bakal muncul dalam teater tersebut ialah Misha Omar yang membawa watak Keponakan C, Sarimah Ibrahim (Keponakan B), Khatijah Tan (Keponakan A), Tania Zainal (Nyonya) dan Zaifri Husin (Tuan).
Setakat ini, Rohayah hanya membayangkan Ziana Zain dan Juhara Ayob yang sesuai memegang watak Mak Dara.
“Bagaimanapun, setakat ini kami belum memutuskan apa-apa atau berbincang dengan mana-mana pelakon lagi,” ujarnya.
Tiket untuk menyaksikan Teater Mak Dara Nyonya ini boleh didapati dengan harga RM32, RM52 dan RM82. Untuk keterangan lanjutsila hubungi 03-41478600, 012-2977220 dan 013-6293825.
0 ulasan:
Catat Ulasan