USIA pembabitan mereka dalam industri muzik boleh dikatakan baru setengah jagung, tetapi Salwa Md Razak atau Arrora Salwa, 26, dan Zafrina Jamhari atau Farina, 29, sudah mula menjadi sebutan ramai.

Bagaimanapun, pembabitan mereka turut bertemankan dugaan cukup besar.

Berdepan dengan kontroversi, gosip dan pandangan serong sesetengah pihak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada rencah hidup seseorang penyanyi.

Kemunculan ramai artis baru yang lahir dari lambakan rancangan realiti TV juga membuatkan persaingan sangat hebat. Jika tersalah langkah kehadiran mereka ibarat datang dan pergi tanpa ada siapa yang menyedari.


Bagi bintang Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Farina penyertaannya dalam rancangan realiti TV popular itu dianggap satu rahmat dan pembuka jalan untuk dia mengembangkan bakat dimiliki.


Puas mencuba sejak Akademi Fantasia musim keenam namun tahun lalu barulah tuah menyebelahinya.

"Kerana itu saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang ada. Saya sedar dugaan untuk bergelar penyanyi besar.

"Penyanyi baru muncul saban tahun. Saya juga salah seorang daripada mereka. Namun, saya melihat perkara ini dari sudut positif. Ini satu persaingan sihat.
Saya tidak akan sia-siakan peluang yang datang," katanya ketika menjalani sesi fotografi khas bersama Arrora.

Untuk itu, kata Farina, dia akan pastikan peluang terbuka digunakan sebaik mungkin.

Kerja keras adalah kunci kepada kejayaan dan itu juga yang dilakukan sebaik keluar dari AF8.

"Saya juga senang bernaung di bawah pengurusan BME Entertainment. Mereka merancang kerjaya seni saya dengan baik.

"Sebaik keluar saya sudah mempunyai satu single yang dicipta KRU Records, Hujung Minggu. Tidak mahu peminat melupakan nama saya selepas AF8 tamat, saya mendendang�kan semula lagu raya Syukur Di Aidilfitri yang diedarkan tahun lalu dan untuk awal tahun ini saya muncul dengan Yang Benar.

"Adanya single baru kelangsungan kerjaya seni saya dapat diwujudkan. Waktu sama, saya juga tidak pernah menolak untuk mengadakan persembahan terutama di kawasan luar bandar.

"Saya tahu di situlah kebanyakan sokongan saya terima. Disebabkan itu ketika pilihan raya di Sarawak, baru-baru ini datang tawaran untuk saya menghiburkan orang di kawasan pedalaman. Saya menerimanya dan ia satu pengalaman cukup menyeronokkan," katanya.

Menyentuh mengenai gosip, kontroversi mahupun pandangan serong masyarakat, kata Farina, dia sudah lali dengan perkara sedemikian.

Selain itu dia enggan ambil pusing mengenainya.

Bakal berdepan dengan gosip dan kontroversi, kata Farina, ia tidak akan menjadi kudis buatnya kerana bergelar ibu tunggal dan membesarkan anak berusia sembilan tahun bersendirian sudah cukup menjadikan wanita berasal dari Bintulu, Sarawak ini cekal untuk berdepan dengan apa juga dugaan.

"Saya sudah biasa dengan pandangan serong masyarakat membuatkan saya lali. Biasalah kalau bergelar janda ada saja perkara buruk yang mahu dikaitkan dengan diri saya.

"Bila kita tidak buat orang mengata. Bagaimanapun, pada saya apa yang penting adalah niat hati.

"Saya menjadi penyanyi untuk mengejar cita-cita selain cari makan. Kalau niat kita betul, saya yakin Tuhan akan mendorong kita kepada perkara yang baik. Apa yang penting adalah saya harus pandai menjaga diri," katanya.

Bagi Arrora pula, pengalaman menjadi polis selama sembilan tahun akan digunakan untuk berhadapan dengan apa juga dugaan yang mendatang.

Apatah lagi, sebelum ini dia sudah didedahkan dengan latihan bagaimana berdepan dengan tekanan mental.

"Saya jenis manusia yang berpegang kepada falsafah hidup dan tiada perkara yang tidak boleh dan kalau saya mahu sesuatu saya akan beru�saha untuk mendapatkannya," katanya.

Pembabitan Arrora dalam dunia hiburan bermula dengan peragaan apatah lagi dia mempunyai susuk tubuh yang diperlukan untuk memperaga dan pernah menyertai pertandingan Star Search bagi mewakili negara dalam kategori peragaan.

"Saya terpilih hingga ke peringkat akhir namun kerana terikat dengan tugas perkara itu terpaksa dilupakan. Mengenai bidang nyanyian pula, ketika menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), saya sudah didedahkan dengan persembahan pentas.

"Walaupun pada peringkat awalnya, saya ditugaskan di bahagian Muzium Polis, namun waktu sama saya turut menyertai badan kebudayaan dan sering mengadakan persembahan di seluruh negara," katanya.

Memiliki ketinggian dan mampu beraksi depan kamera membuatkan Arrora sering mendapat perhatian.

Pengalaman bergelar model sebelum ini turut menjadi satu kelebihan.

"Saya tidak mahu mengehad�kan pembabitan saya dalam bidang seni. Sekarang saya akan lakukan semuanya termasuk berlakon.

"Saya baru saja menerima tawaran untuk membintangi drama bersiri mengenai kepolisian diterbitkan Platinum Walk Production dengan memegang peranan utama.

"Saya mendapat tahu mengenai drama terbabit menerusi seorang teman. Kami sama-sama menghadiri sesi uji bakat. Mungkin pengalaman yang saya miliki menjadi kelebihan. Saya mahu menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin untuk belajar selok-belok dunia lakonan, sekali gus membina kerjaya dalam bidang ini," katanya.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music, gadis berasal dari Kota Tinggi, Johor ini mula diperkenalkan kepada umum menerusi single terbarunya, Ahmad. Ia kini semakin digemari ramai dan sering diputarkan di stesen radio tempatan.

"Saya tahu untuk bergelar penyanyi diminati ramai dalam keadaan sekarang tidak mudah kerana saingan terlalu banyak. Apatah lagi dengan kehadiran ramai bintang baru yang sudah punya nama menerusi rancangan realiti TV.

"Bagaimanapun, tidak mahu menjadikan ia sebagai penghalang. Saya percaya kalau kita berusaha pasti apa yang dilakukan itu akan memperoleh kejayaan," katanya.

PROFIL

Nama penuh: Salwa Md Razak
Panggilan: Arrora Salwa
Tarikh lahir: 7 Julai 1985
Umur: 26 tahun
Tempat lahir: Hospital Kota Tinggi, Johor
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan model
Status: Bujang
Penyanyi pujaan: Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Celine Dion dan Mariah Carey
Hobi: Melancong dan mendengar muzik
Single: Ahmad
Rancangan Televisyen: Yok Sahur 3

PROFIL

Nama penuh: Zafrina Jamhari
Panggilan: Farina
Tarikh lahir: 7 Oktober 1982
Asal: Bintulu, Sarawak
Umur: 29 tahun
Kerjaya: Penyanyi
Status: Ibu tunggal
Hobi: Menyanyi, membaca, melayari Internet
Rancangan televisyen: Akademi Fantasia – Musim Kelapan, Trek Selebriti, Ada Berani
Single: Hujung Minggu, Syukur Di Aidilfitri dan Yang Benar

Pakaian: Zery Zamry, 25 Jalan Kristal Empat, 7/76d Seksyen 7 Shah Alam (017-6519056)
Solekan dan dandanan: Hathim Thai (Arrora Salwa) dan Emmy Agung (Farina)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top