Tilu terbang ke Australia
TILU ertinya dalam bahasa Sunda ialah tiga. Sememangnya asal kumpulan ini cuma ada tiga anggota tetapi kini bilangannya bertambah menjadi lapan. Semuanya kerana Tilu ingin tampil berbeza dan berubah lebih baik daripada sebelum ini. Tilu akhirnya tampil dengan tujuh orang lelaki bersama seorang wanita dengan membawa rentak muzik yang universal.
Masih mengekalkan nama Tilu, kumpulan muzik ini bagaimanapun tidak terarah kepada rentak muzik pop rock mahu pun pop punk seperti kumpulan-kumpulan muzik lain tetapi membawa aliran muzik pelbagai seperti jazz, dangdut, R&B dan pop.
Bernaung di bawah syarikat rakaman trio adik beradik KRU, Tilu berhasrat mahu memasarkan muzik mereka jauh sehingga ke pendengar di Melbourne, Australia.
Ternyata hasrat mereka itu bukan cakap-cakap kosong tetapi kenyataan yang bakal dikecapi mereka pada awal bulan Julai ini.
"Kami ada menerima jemputan daripada pelajar-pelajar Malaysia di Melbourne untuk membuat persembahan pada 8 Julai ini menerusi konsert Muzika 2011," cerita salah seorang ahli kumpulan mereka Fareed Aziz, 26, ketika ditemui di Studio Utusan, Kuala Lumpur.
Sebagai kumpulan yang masih hijau dalam dunia seni (baru dua tahun berada dalam industri hiburan), tidak keterlaluan jika dikatakan Tilu mudah mengecapi tuah.
Buktinya, selepas kecewa untuk membuat persembahan di Perancis, Tilu meraih pula peluang membuat persembahan di Australia.
"Sepatutnya kami pergi buat persembahan di Paris pada 20 April lalu tetapi atas sebab masalah teknikal kami terlepas peluang.
"Bagaimanapun, kami bersyukur walaupun terlepas peluang ke Paris kami dapat peluang ke Australia," akui salah seorang anggota Tilu, Jeffny Kamar, 26, sambil menunjukkan bukti khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya.
Album kedua
Mengharapkan lagu-lagu mereka menjadi malar segar buat peminat-peminat di Malaysia, Tilu kini sedang giat merangka lagu untuk album kedua mereka.
Album yang diberi nama Jantung Hati itu kini sudah siap sebanyak 50 peratus dengan lima buah lagu.
"Album kedua ini bakal memuatkan sebanyak lapan hingga sepuluh buah lagu yang terdiri daripada pelbagai jenis muzik.
"Tujuannya agar pendengar tidak kira lapisan umur menggemarinya," tutur Puja mengenai album yang akan dilancarkan pada sekitar Aidilfitri nanti.
Katanya, cuma Tilu masih mencari tarikh yang sesuai untuk melancarkan album tersebut.
Menjadikan lagu Jantung Hati sebagai single pertama untuk dipasarkan, lagu itu juga dicipta sepenuhnya oleh Puja Paska.
PUJA PASKA (dua dari kiri) bersama anggota Tilu yang lain.
Dalam usaha Tilu menawan hati pendengar-pendengar muzik di Malaysia, kumpulan yang menjadikan irama jazz sebagai rencah utama muzik mereka ini juga tidak menunggu lama untuk memikat hati pendengar-pendengar industri muzik di Indonesia pula.
"Kami menerima jemputan pelajar-pelajar Indonesia di Universiti Lim Kok Wing dan Universiti Multimedia (MMU) untuk membuat persembahan.
"Kami melihat dahulu bagaimana sambutan peminat Indonesia di sini dan setakat ini Alhamdullillah amat bagus," kata Tilu.
Selain Puja Paska yang merupakan anggota Tilu yang berasal dari Indonesia, terdapat dua lagi anggota Tilu dari negara seberang iaitu Deo Karmauan dan Reza Ramsey.
"Insya-Allah, kami akan bawa muzik kami ke sana supaya muzik kami dapat dipasarkan dan diperdengarkan di Indonesia pula," kata Tilu lagi.
Selain Puja Paska yang bermain bass, Deo Karmawan (gitar) dan Reza Ramsey (keyboard), Tilu turut dianggotai oleh Amirah Asraf yang merupakan vokalis dan wanita tunggal di dalam Tilu.
Selain itu, Tilu turut dianggotai oleh Fareed Aziz (trompet), Daus (Trompet) dan Jeffny Kamar (saksofon).
Tumpang populariti Sheila Majid
Menjadikan Datuk Sheila Majid sebagai sumber inspirasi, Tilu pernah dituduh cuba menumpang populariti Ratu Jazz itu.
Semuanya gara-gara Sheila telah dipanggil untuk melancarkan album Tilu, malah dipaksa mendengar muzik Jazz mereka.
Tilu saat ditebak soalan sedemikian, lantas mengakui tidak kisah jika mereka dikatakan menumpang populariti Sheila.
"Kami tidak kisah jika dikatakan cuba menumpang populariti Sheila. Malah, kami ingin mengambil kesempatan untuk berkolaborasi bersama Sheila di masa-masa akan datang," akui anggota lain Tilu, Puja Paska, 34, dengan jujur.
Puja yang juga bertindak sebagai pencipta lagu-lagu kumpulan Tilu itu juga memberitahu, merasa terharu dan teruja kerana artis pujaan mereka itu sanggup melancarkan album dan menitip kata-kata nasihat kepada mereka.
Selain Sheila, Tilu juga berkeinginan untuk berkolaborasi bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Mengulas mengenai single ketiga Tilu yang sedang hangat dipasarkan kini, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Puja Paska itu menekankan elemen dangdut dalam susunan liriknya tetapi masih mengekalkan identiti Tilu yang menggunakan alat-alat muzik seperti saksafon, trompet dan gitar di dalam persembahan mereka.
Ujar Puja, lagu Jangan-Jangan Cuba mengisahkan tentang pasangan kekasih yang sedang hangat berpacaran tetapi masih tahu batas-batas dalam perhubungan dan tidak melakukan perbuatan yang terlarang.
"Lagu-lagu Tilu yang kesemuanya dicipta oleh Puja kecuali Ku Bukan Aku dihasilkan Edry Abdul Halim menceritakan tentang cinta. Tetapi ia turut diselitkan dengan unsur-unsur nasihat," kata Puja.
0 ulasan:
Catat Ulasan