RAMAI peminat yang tertanya-tanya mengenai kebenaran desas-desus yang menyatakan bahawa pelakon Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya menjalinkan hubungan cinta dengan pengarah drama dan pelakon, Azma Aizal Yusoof, 29, saat perkara itu mula tersebar baru-baru ini.
'Permainan' Sharifah Amani, 25, yang mesra disapa Nani dan Azma Aizal di laman sesawang Facebook membangkitkan pertanyaan di kalangan peminat mereka apabila masing-masing meletakkan status 'dalam perhubungan' di profil masing-masing.
Bermula daripada situ, pertanyaan di kalangan peminat mula menghambat mereka apatah lagi gambar-gambar yang memaparkan keintiman mereka berdua turut tersebar di Internet.
Tampil membuat kenyataan dengan merendah diri mengenai isu tersebut, Azma menjelaskan bahawa perkara itu hanyalah gurauannya dengan Nani sahaja kerana mereka sudah lama akrab sebagai sahabat.
Kata Azma: "Itu hanya gurauan kami sahaja kerana saya sudah menganggap dia sebagai adik sendiri. Saya juga amat rapat dengan keluarganya. Saya tidak mahu mengambil risiko untuk bercinta dengan dia kerana ingin berhubung secara profesional sampai bila-bila.
"Saya dan dia sama-sama meminati lagu Hindustan. Sejak bekerjasama di Actor Studio tidak lama dahulu, kami mula-mula rapat dan mendengar bersama lagu-lagu Hindustan di iPod.
Berbeza pula respons daripada Nani apabila dia seperti biasa tidak mahu menjawab soalan-soalan berunsur peribadi dan provokasi ke atas dirinya. Dengan kata lain Nani rimas dengan soalan-soalan sebegitu.
"Terus-terang saya cakap yang saya tidak mahu membangkitkan cerita peribadi. Ini bukan kali pertama saya beritahu orang tentang pendirian saya.
"Kenapa masih tak faham. Nak saya jerit atau berlari keliling kampung agar orang faham yang saya tidak suka cerita soal peribadi?" katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Cita & Cinta baru-baru ini.
Biarpun sedikit 'panas' setelah diajukan soalan mengenai gosip hubungan antara dia dengan Azma yang menjadi buah mulut peminat, Nani tetap memberi sedikit penjelasannya mengenai perkara itu.
Menurut Nani, gambar yang memaparkan dia dan Azma itu dirakamkan ketika salah satu babak dalam drama Cita & Cinta di sebuah banglo di Kota Damansara baru-baru ini.
"Rambut saya nampak tidak terurus dalam gambar itu kerana pada ketika itu saya baru selesai menjayakan watak Zalia yang baru sudah mandi. Tiba-tiba saja dia (Azma) datang dan ajak bergambar.
"Dia terus 'bertempel' (duduk rapat) di sebelah dan upload (muat naik) di Facebook. Tiba-tiba sahaja keluar cerita lain," katanya lagi.
Sharifah Amani,
BalasPadamI Love You!!!