KEWUJUDAN Astro First pada pertengahan Januari lalu disambut baik oleh produser tempatan kerana menambah pendapatan mereka. Sudah banyak filem terbaru ditayangkan selepas dua minggu menemui peminat.

Namun dalam laporan Rap kelmarin, produser M Jamil menolak filem terbarunya, Momok Jangan Panggil Aku ditayangkan Astro First (Saluran 480) selepas masuk panggung 5 Mei nanti.

Menurutnya, dia membuat keputusan itu kerana melihat sudah tiada lagi hak eksklusif untuk filem Melayu dan berasakan ia budaya kurang sihat.

Sebagai produser, M Jamil berkata, dia bebas membuat keputusan sendiri.


Bagaimanapun, dua produser yang dihubungi tidak bersetuju dengan kenyataan beliau.


Kata mereka, Astro First tidak perlu dianggap sebagai 'pengacau' sebaliknya satu alternatif menarik dan menguntungkan buat produser yang mahu mencari pulangan tambahan selain dari pawagam.

Produser pengedaran JAS Sdn Bhd yang menerbitkan filem …Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman, berkata kewujudan Astro First banyak membantu menjana keuntungan tambahan buat produser kerana tidak ramai orang suka menonton di pawagam.

"Untuk golongan yang tidak suka ke pawagam, mereka lebih suka menunggu tayangan di Astro First selepas dua minggu sesebuah filem ditayangkan.

"Mereka tak perlu lagi tunggu pada hari raya yang biasanya akan diisi dengan tayangan filem di pawagam. Dakwaan Astro First punca kutipan di pawagam terjejas juga tak benar kerana produser akan dapat hasilnya apabila filem mereka ditayangkan di saluran itu.

"Penonton yang melanggan Astro First perlu membayar RM15 dan sebahagian kutipan akan diserahkan kepada produser.

"Sistemnya sama seperti pawagam dan di sini ia tidak menjejaskan apa-apa pun. Bahkan, ia lebih membantu produser menjana keuntungan lebih.

"Astro First menggunakan mekanisme terbaru dalam gaya hidup di negara kita.

"Sebenarnya yang rugi adalah pengusaha panggung kerana mereka lebih utamakan orang luar dari produk sendiri. Cuba mereka bagi ruang untuk filem kita. Seharusnya peng�usaha pawagam bagi ruang filem tempatan tapi semuanya nak buat bisnes semata-mata.

"Jadi, apa yang Astro First buat ini juga adalah bisnes yang membantu keuntungan produser tempatan," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut filemnya …Dalam Botol sudah ditayangkan menerusi Astro First dan Raja Azmi sudah mengecapi keuntungan tambahan.

Dia tidak berasakan keputusan menayangkan di Astro First menjejaskan minat orang ke pawagam.

"Bagi saya mereka yang tengok wayang dan tengok TV adalah sasaran berbeza.

"Apapun terpulanglah kerana setiap produser yang ada hak masing-masing. Asto First tidak pernah memaksa tapi yang penting kita ada cara alternatif untuk mendapatkan untung," katanya.

Sama seperti Raja Azmi, produser MIG Productions Sdn Bhd, David Teo bersetuju setiap produser punyai hak sendiri memilih atau menolak tawaran Astro First.

Namun sebagai individu yang sudah lama menghitung kerugian dan keuntungan dalam pembuatan filem, David �berpendapat Astro First lebih menolong mengembalikan semula keuntungan kepada produser.

"Bagi filem yang kutip bawah RM4 juta, produser mesti masuk Astro First untuk tambah pendapatan. Ia tak jejaskan kutipan di pawagam.

"Tapi terpulanglah pada produser buat keputusan kerana ada orang tak mahu untung lebih. Memang ada produser yang lebih utamakan panggung.

"Sebagai pengedar untuk filem ini juga, Momok Jangan Panggil Aku, saya sudah bagi penerangan kepada M Jamil supaya dia faham keburukan dan kebaikannya tapi ahli lembaga pengarah syarikat ini buat keputusan tak nak masuk. Saya hormati keputusan mereka.

"Produser lama pun sokong Astro First sepatutnya orang baru lebih lagi. Saya tak masuk pun masih boleh hidup tapi mereka yang tak masuk, akan rugi. Orang nak tolong kita buat untung, mengapa nak tolak?" katanya.

Norman Abdul Halim dari KRU Studios pula berkata, mereka mendapat keuntungan berlipat ganda apabila memilih menayangkan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) menerusi Astro First.

"Terpulanglah kepada setiap produser untuk buat keputusan. Ini satu terma perniagaan yang perlu diterima atau tidak oleh kita. Bagi kami ia tak beri kesan buruk pada tayangan HMM di pawagam walaupun penonton tahu kami akan tayangkan di Astro First. Tayangan di pawagam dan Astro First sama hangat. Malah sambutan untuk DVD juga hebat apabila dijual lebih 50 ribu unit.

"Ini menunjukkan Astro First buka pasaran baru kerana orang yang pergi tengok wayang pun masih menonton di rumah.

"Saya rasa memang ada kesan psikologi kerana menonton di pawagam dan rumah berbeza. Tapi semuanya bergantung kepada penonton sendiri. Namun, jangan anggap Astro First negatif," katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top