Dua peserta Mentor 5 anggap belum masanya bercerita soal peribadi
ADA riak kurang selesa di wajah dua peserta Mentor, Ratnah Awal, 28, dan Salmah A Asis, 21, apabila kesahihan cerita mengenai status mereka yang bukan lagi anak dara cuba dikorek.Di internet sudah kecoh memperkatakan mengenai status janda yang dipegang kedua-dua wanita itu. Salma yang juga protege kepada penyanyi jelita Erra Fazira dikatakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, sementara Ratnah pula tidak sempat memiliki anak ketika berkahwin.
Ini bukanlah kali pertama kesahihan cerita itu cuba dirungkai. Justeru, kedua-duanya memang kelihatan cukup tenang namun masih terbias sedikit riak kurang selesa apabila soalan sama diajukan.
Alasan yang diberikan kedua-dua wanita itu, kononnya tidak mahu kisah peribadi mereka terlalu diperkatakan hingga mengganggu tumpuan mereka kepada pertandingan yang bakal berakhir penghujung Mei nanti.
Bagaimanapun, Salma yang berasal dari Tawau, Sabah tidak cuba berselindung. Dia mengakui berumah tangga ketika usia 17 tahun. Perkahwinan yang diatur keluarga itu bagaimanapun hanya bertahan setahun saja dan dikurniakan seorang cahaya mata.
"Saya mengaku memang ibu tunggal tetapi bukanlah kepada tiga cahaya mata seperti yang disebarkan di internet. Saya hanya ada seorang anak saja. Saya harap selepas ini tiada lagi yang akan bertanyakan mengenai status saya. Cukuplah orang tahu saya pernah berkahwin, janganlah cuba mengorek dalam-dalam.
"Saya memasuki program ini sebab nak menjadi penyanyi. Orang menonton program ini kerana hendak melihat saya menyanyi. Saya terkejut juga macam mana cerita itu boleh tersebar sedangkan yang tahu status saya hanyalah keluarga serta teman rapat saja. Kalau boleh saya tidak mahu cerita ini diungkit kerana tidak mahu fokus pada pertandingan ini terganggu," kata Salma.
Jika Salma tidak mempunyai masalah berterus terang mengenai statusnya itu, berbeza pula dengan Ratna. Wanita berasal dari Kota Kinabalu memilih untuk tidak memberikan sebarang komen berhubung statusnya.
Kata Ratnah, protege kepada Afdlin Shauki itu, persoalan berkenaan hanya akan dijawab selepas program Mentor berakhir. Memilih untuk tidak memperkatakan apa-apa pun mengenai kisah peribadinya, dia berpendapat soal statusnya tidak patut menjadi isu besar kerana apa yang lebih penting adalah pembabitan serta bakatnya.
"Saya tak terkejut langsung dengan dakwaan sebegini. Terus terang memang saya kurang selesa langsung dengan cerita ini, saya tak mahu komen lanjut kerana saya serius masuk dalam bidang ini untuk bergelar penyanyi. Saya mahu orang menilai saya daripada bakat yang dimiliki bukan kisah peribadi," katanya.
Memang intim dengan Ayish
KEAKRABAN Ratnah dan Ayish, protege kepada Noh Hujan ini menyebabkan tersebar cerita yang kononnya mereka mempunyai hubungan istimewa. Tetapi ia segera disangkal Ratnah sambil menegaskan dia tidak hanya akrab dengan jejaka berusia 21 tahun itu, tetapi dengan ke semua temannya yang berada dalam program Mentor.
"Hubungan kami semua rapat bagaikan bersaudara. Di antara semua protege, semangat Ayish paling rapuh. Sebagai kakak, saya harus memberikannya kata-kata semangat untuk menaikkan kembali semangatnya," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, Isnin lalu.
Terdahulu, semua enam peserta program Mentor musim kelima dibawa oleh TV3 mengunjungi Balai Berita sebagai pendedahan kepada mereka cara berdepan dengan media.
Pada kunjungan selama dua jam itu, ke semua mereka termasuk Aiman Hakin Ridza Abdoh (Aiman), Nursyafiqah Nasratullah (Iqa) dan Nurshiha Mohd Zikir (Shiha) diberi penerangan dan panduan menghadapi media oleh Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil.
"Anda mungkin mendapat tunjuk ajar cara membuat persembahan di pentas dan teknik menyanyi daripada mentor masing-masing. Tetapi mungkin tidak diajar bagaimana berdepan dengan wartawan atau media sebaik saja program ini selesai nanti.
"Kena ingat, betapa pedasnya kritikan juri daripada program ini, lagi tajam dan mungkin lebih menyakitkan hati apabila anda diajukan dengan macam-macam pertanyaan daripada media nanti.
"Tapi anda semua beruntung kerana mendapat tunjuk ajar secara terus dan bersemuka dengan mentor yang cukup berpengalaman dalam bidang masing-masing. Gunakan peluang itu sebaik-baiknya dan walaupun mungkin kalah tetapi daripada pengalaman yang diperolehi, awak semua masih boleh menjadi penyanyi yang bagus," kata Zainuri.
Mereka juga diberikan penerangan mengenai operasi Berita Harian dan Harian Metro selain mengenali lebih dekat dengan sebahagian wartawan hiburan daripada kedua-dua akhbar ini.
Mahu terus berjuang
BERADA pada kedudukan tercorot tidak pernah mematahkan semangat dua peserta lelaki program ini. Biarpun peringkat separuh akhir kian menghampiri, Aiman dan Ayish masih menaruh harapan besar mahu melangkah ke peringkat akhir.
Protege kepada Rahim Maarof berkata, mentornya itu seorang yang spontan. Rahim katanya gemar mengikut gerak hati malah suka membuat rombakan pada saat akhir. Namun dia tetap berasa beruntung kerana mendapat bimbingan dari penyanyi berpengalaman seperti Rahim.
"Rahim Maarof memang seorang yang suka berubah fikiran di saat akhir tetapi bagi saya itu bukanlah satu masalah besar untuk saya menerima caranya. Banyak ilmu yang dikongsikan Rahim mengenai dunia nyanyian kepada saya dan ia satu ilmu yang sangat berguna," katanya.
Sementara itu, bagi Ayish pula, biarpun mentornya Noh tenaga pengajar paling muda tetapi banyak juga ilmu yang ditimba daripada mentornya itu.
"Biarpun Noh mentor paling junior pada musim ini, namun pengalamannya bukan calang-calang. Banyak pengetahuan yang saya dapat sepanjang berguru dengannya," kata Ayish.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan