KUALA LUMPUR: Peserta tunggal wanita, Jihan Musa terpaksa meninggalkan pentas Maharaja Lawak selepas diumumkan tersingkir oleh juri tetap Ahmad Idham pada minggu kelima program tersebut, Jumaat.
Jihan yang mendapat undian terendah iaitu 23 markah pada persembahan malam tersebut mengakui sudah menjangkakan penyingkirannya berikutan persembahan yang tidak konsisten pada setiap minggu.
“Saya bersyukur kerana tersingkir pada minggu yang kelima kerana tidak menyangka akan sampai ketahap ini. Saya dapat rasakan akan terkeluar pada malam ini kerana persaingan minggu ini semakin sengit.
“Saya juga setuju dengan pendapat juri bahawa persembahan saya tidak begitu konsisten pada setiap minggu,” katanya ketika ditemui selesai pertandingan Maharaja Lawak minggu kelima ini.
Tambah Jihan, dia juga mengakui kekurangan masa untuk membuat persediaan berikutan terpaksa memberi komitmen kepada kerja sehariannya.
“Saya akui faktor sekeliling dan kekurangan masa juga sebagai salah satu punca saya tidak memberi yang terbaik.
“Saya masih lagi bekerja di pejabat berbanding peserta lain yang sememangnya sepenuh masa sebagai pelakon, faktor sekeliling mereka banyak menyumbang kepada idea-idea yang lebih kreatif,” katanya yang masih bertugas di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pada malam pertandingan tersebut, seperti biasa, Jozan, Jambu, Sepah dan Nabil menjadi peserta kegemaran berjaya membuatkan para penonton serta juri bergelak ketawa tanpa henti.
Menurut Pengurus Astro Prima, Nizam Sani, persembahan yang diberikan oleh peserta setiap minggu semakin sengit.
“Apa yang saya lihat persembahan mereka semakin sengit, peserta kegemaran seperti Jozan, Nabil, Sepah dan Jambu juga tidak menghampakan.
“Peserta kegemaran ini perlu membuat yang terbaik kerana jangkaan kepada mereka sangat tinggi. Jika tidak menepati jangkaan juri mereka akan menerima kritikan teruk seperti persembahan Jozan pada minggu pertama.
0 ulasan:
Catat Ulasan