"Malah, saya pula terikut-ikut kelakuannya seperti keluar berfoya-foya, minum arak dan memakan benda haram, termasuk daging babi dan ayam tidak disembelih," kata Maria, 30, yang mengakui menyesal dan kembali ke pangkal jalan.
Bagaimanapun, Maria mendakwa penyesalannya tidak berguna lagi apabila ditinggalkan suami manakala dua anak lelakinya kini lebih terarah kepada agama asal bekas suaminya.
"Sepanjang berkahwin 13 tahun lalu, saya tidak pernah solat, berpuasa mahupun menunaikan zakat. Saya tidak pernah bayar zakat walaupun kehidupan kami baik dengan suami mengerjakan ladang," katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.
Ketika ditanya mengenai perkenalan dengan suaminya yang hanya dikenali sebagai Peter, Maria berkata, mereka bertemu ketika membantu ibu saudara menjaga kedai runcit manakala bekas suami bekerja di kawasan ladang berhampiran.
"Selepas mengenali hati budi dan lima bulan menjalin cinta, saya mengambil keputusan berkahwin dengan Peter dalam satu majlis sederhana," katanya.
Maria berkata, perkahwinan itu tidak didaftarkan di bawah Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Daerah, sebaliknya hanya menggunakan khidmat imam kampung yang menikahkan mereka.
"Selepas selesai akad nikah, kami susuli dengan mengadakan majlis perkahwinan mengikut agamanya di kampung asal suami.
"Kerana sayang, saya menurut saja apa dilakukan suami, termasuk berkahwin mengikut budaya asal mereka," katanya.
Maria berkata, selepas berkahwin, dia menjalani kehidupan mengikut fahaman suami dan lebih banyak menyambut perayaan agama asalnya berbanding menyambut hari raya.
Menurutnya, hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki masing-masing berusia 13 dan 11 tahun.
"Disebabkan saya tidak mendaftar kahwin mengikut undang-undang, anak kami tidak menggunakan nama Islam, sebaliknya kekal dengan nama keturunan suami.
"Keadaan ini menyebabkan kedua-dua anak saya terpaksa mengikuti kelas pendidikan moral di sekolah kerana agama yang didaftarkan dalam sijil lahir adalah agama asal suami, bukan agama Islam," katanya.
Maria berkata, pada mulanya dia tidak mengendahkan perkara itu tetapi kini berasa kesannya apabila kedua-dua anaknya tidak dibenarkan memasuki kelas agama Islam selain mula menunjukkan minat dengan agama asal bekas suaminya.
"Mungkin ini balasan Tuhan kepada saya yang ingkar arahan-Nya, termasuk kehilangan suami dan anak yang mula kembali kepada agama asal mereka.
"Saya tertekan dan pernah berfikir untuk membunuh diri kerana memikirkan mengenai masa depan saya dengan anak," katanya.
Menurut Maria, dia kini bertaubat dan mula mengikuti kelas agama di kampung dan berharap kedua-dua anaknya akan diberikan hidayah.
Oleh Junaidi Ladjana
0 ulasan:
Catat Ulasan