Menghiburkan dan berkualiti! Itulah kesimpulan yang boleh dibuat untuk konsert minggu ini. Ketiga-tiga protege dari Kumpulan B - Aiman, Iqa dan Salma telah berjaya menghiburkan hadirin dengan persembahan masing-masing.

Aiman membuka tirai konsert malam itu dengan lagu 'Noktah Cinta', disusuli Salma yang mendendangkan 'Penasaran dan Kopi Dangut'. Iqa muncul selepas itu dengan lagu 'Ganas' yang digabung-jalinkan dengan lagu popular Lady Gaga 'Bad Romance'.

Seterusnya, Aiman kembali ke pentas bersama Roy menyanyikan lagu 'Ratnaku' dan Salma menggamatkan Auditorium MBSA ketika bergandingan dengan Azlan The Typewriter menerusi lagu 'Jeritan Batinku'. Iqa tampil selepas itu dengan duet istimewanya melalui video bersama Allahyarham Sudirman dengan lagu 'Merisik Khabar'.

Turut ditampilkan dalam konsert itu ialah segmen protege yang menampilkan Shakir Aiman bersama ibunya, Nora yang pernah popular dengan lagu 'Di Persimpangan Dilema'. Mereka telah menyampaikan lagu 'Terlanjur Bercinta’.



Segmen lagu bonus untuk konsert itu membariskan lagu-lagu hits Anuar Zain yang disampaikan oleh ketiga-tiga protege secara medley. Anuar Zain turut tampil ke pentas di penghujung segmen tersebut untuk memberi sedikit nasihat kepada semua protege.



Dari pengamatan GUA, Aiman telah menyampaikan kedua-dua buah lagu dengan baik. Penguasaan vokalnya semakin mantap dan Aiman telah berjaya ‘hit’ kesemua ‘notes’ dalam persembahannya. Persembahan kedua ternyata menghiburkan dengan kehadiran Roy di mana mereka telah ‘ad-lib’ dengan gaya ‘soul’ dan ‘funk’. Ia boleh dianggap satu percubaan yang berani bagi pendatang baru seperti Aiman kerana artis jemputannya bukan calang-calang pengalamannya.



Menurut Juri Profesional Dato' Ramli MS dan Juri Profesional Jemputan, Noraniza Idris (Kak Ani), Aiman masih jauh dari tahap penghibur. Dato’ Ramli juga telah memberi komen yang agak mengelirukan mengenai asas vokal Aiman. Menurutnya, terlalu banyak ‘flat’ di dalam nyanyian Aiman, namun ‘warna tone’ Aiman menggambarkan yang Aiman mempunyai potensi untuk maju. Mentor Aiman, Rahim Maarof juga keliru dengan komen ini di mana dia hanya mampu tersenyum dan berkata “we will keep on going, as what we have done previously”.



Iqa, protege kepada Edry turut menghiburkan dalam konsert ini. Persembahan pertama menunjukkan kebolehan Iqa untuk menari sambil menyanyi di samping melontarkan vokal tanpa sumbang. Namun, harus diakui persembahan keduanya begitu menarik. Nyata gimik untuk persembahan duetnya meninggalkan kesan pada penonton yang rata-rata merasa kagum dengan kreativiti pasukan Edry dan Iqa.



Kedua-dua Juri Profesional hanya memberi komen yang Iqa telah menyampaikan persembahan dengan baik. Dato’ Ramli juga sempat menyampaikan rasa kagumnya pada kebolehan pasukan Edry & Iqa dalam persembahan duet Iqa. Video yang telah diubahsuai oleh KRU sememangnya mengagumkan dan ini diakui oleh semua pihak.



Ternyata, minggu ini masih milik Salma. Dengan kelantangan vokalnya, Salma berjaya menyampaikan nyanyiannya dengan baik dan ini diakui oleh Juri Profesional. Salma tampak selesa ketika persembahan pertamanya dan tidak tenggelam ketika digandingkan dengan Azlan The Typewriter. Semua orang mengetahui kekuatan Lan dalam lontaran vokalnya namun Salma tidak hilang punca, malah mampu untuk berduet dengan baik.



Dato’ Ramli dengan tenang berkata “Saya jarang memuji penyanyi but you’re very good!”. Kak Ani juga memberi pujian yang tinggi dengan mengatakan itu adalah vokal yang terbaik dalam penglibatan 26 tahun Kak Ani di dalam bidang seni. Pilihan lagu yang tepat dan persembahan yang mengagumkan.

Untuk pemarkahan dari Juri Awam, Dato’ Ramli telah meminta agar Juri Awam memberi markah terlebih dahulu. Mungkin Dato’ Ramli tidak mahu Juri Awam terpengaruh dengan komen dari Juri Profesional. Melalui Juri Awam, Aiman telah memungut 15 dari Juri Awam manakala Iqa 19 dan Salma 19.


Setelah dicampur dengan markah dari Juri Professional dan Undi SMS, Salma sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Mingguan. Mata yang diperoleh untuk Salma untuk konsert minggu ini ialah 80, Iqa mendapat 63 markah dan Aiman terpaksa akur dengan 49. Dengan ini, Salma terus unggul di hadapan dengan 237 markah, diikuti oleh Iqa dengan 174 mata dan Aiman terus tertinggal jauh dengan 140 markah.

Setelah berakhir konsert ini, GUA dapat merumuskan yang Salma sudah bersedia untuk bergelar penyanyi dan penghibur. Salma mungkin tidak memerlukan program Mentor sebagai platform untuk dia maju ke bidang seni kerana “she is in a league on her own”, namun penglibatannya dalam program itu akan sedikit sebanyak memberikan publisiti kepadanya.

Komen dari Juri Profesional menyokong kenyataan ini. Jelas, Salma akan melangkah ke peringkat akhir dan mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Mentor musim ke-5 ini sudah “game over”. Ia seumpama mengatakan yang Salma pasti akan menjadi juara dan pencarian musim ini hanya tinggal untuk mengetahui siapakah yang akan mendapat tempat ke-2 dan seterusnya.

Rumusan terlalu awal? Mungkin. Tetapi prestasi semasa menampakkan ‘trend’ sebegini. Apapun, syabas kepada Salma dan Erra Fazira. Erra telah menemui sebuah bakat yang ‘extra-ordinary’ dan perkembangan ini sangat baik untuk keseimbungan muzik tempatan.

Oleh Amir Hisham Albakri

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top