Hattan lepas geram di padang

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH


hi 01.1

GAYA hayunan Hattan seperti seorang pemain golf profesional.



GOLF merupakan salah satu sukan yang dikategorikan berkelas atasan. Tidak semua orang mampu atau mempunyai peluang bermain golf.

Biasanya mereka yang bermain golf terdiri daripada golongan elit. Ia termasuklah kalangan artis yang inginkan sesuatu di sebaliknya.

Bagi mereka, sukan itu bukan setakat kerana status, tetapi ia mampu memberi manfaat termasuklah peluang melepaskan tekanan di padang golf.

Hattan, misalnya merupakan salah seorang penyanyi dan pelakon tempatan yang mempunyai hobi bermain golf sejak 10 tahun lalu. Hobinya itu kekal sehingga kini.

Bagi pemilik nama Mohd. Shukri Shahabudin itu, dia dapat merasai kepuasan apabila berada di padang golf biarpun terpaksa menghadapi cuaca panas terik.

"Bermain golf dapat menghilangkan rasa marah atau tertekan. Saya seolah-olah mencabar diri saya sendiri apabila bermain golf.

"Selain melepaskan geram sama ada daripada segi pukulan, saya juga dapat menenangkan fikiran yang sedang bercelaru.

"Pada masa sama, ia dapat merehatkan minda dengan pemandangan sekeliling yang menghijau dan mendamaikan jiwa," katanya kepada S3.

Pada pertemuan di Kelab Golf Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini, artis berusia 46 tahun itu sekali lagi menunjukkan bakatnya dalam bidang itu.

Persekitaran yang menghijau dengan bukit-bukit kecil dan kawasan kampung yang mengelilingi padang golf itu memang cukup mendamaikan.

Sebab itu, tidak hairanlah penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Memburu Rindu ini tidak pernah jemu bermain golf.

Malah, padang golf yang terletak di belakang rumah ibunya, Hindon Mat Sani, 71, itu antara tempat kegemarannya sejak dulu.

"Saya pernah bermain golf sehingga ke Perth, Australia dan Jakarta, Indonesia tetapi ini adalah antara padang golf kegemaran saya.

"Bagaimanapun, bak kata orang lain padang lain cabarannya daripada segi landskap, cuaca dan kemudahan yang disediakan.

"Saya suka padang golf di sini kerana saya sukakan suasana kampung. Secara tidak langsung saya dapat pulang bercuti dan bersenam di kampung.

"Sebabnya, padang golf yang ada 18 lubang biasanya memerlukan saya berjalan sehingga sembilan kilometer dalam masa lima jam," ujarnya.

Jelas Hattan, bermain golf dapat memenuhi masa lapangnya dengan aktiviti yang menyihatkan badan, selain mengeratkan hubungan silaturrahim.

Dia yang berasal dari Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sering menggunakan peluang bermain golf itu bersama anaknya, Adam Eiman.

Sambil tidak menafikan hobi bermain golf turut menjadi pilihan anak tunggalnya itu, ia juga ruang untuknya mengisi masa bersama-sama.

"Saya dapati Adam juga meminati sukan golf. Saya selalu bermain dengannya. Saya suka dia main golf dan beri galakan kerana usianya masih muda.

"Pada kesempatan itu, saya bukan sahaja boleh mengajar dia bermain golf, malah pada masa sama dapat mendengar masalahnya.

"Adam kini belajar di Sekolah Datuk Abdul Razak, Seremban dan tinggal di asrama. Saya jarang berjumpa dengannya.

"Jadi, apabila ada kesempatan seperti ini secara tidak langsung ia akan mengeratkan lagi hubungan saya sebagai bapa dengan anaknya," tuturnya.

Berhandikap 14 dalam sukan golf, Hattan berkata, dia bermain golf bukan sekadar ikut-ikutan sahaja.

Sebaliknya, bermain golf pernah menimbulkan kegilaan terhadapnya sewaktu di awal pembabitannya dalam sukan tersebut.

"Sewaktu mula bermain golf saya memang rasa teruja sangat sehinggakan saya pernah bermain dengan kawan-kawan setiap hari.

"Saya dapati golf sesuai untuk saya walaupun pada usia yang semakin meningkat. Ini kerana, sukan itu agak relaks. Cuma minda sahaja yang perlu aktif.

"Contohnya, dalam membuat perkiraan dan strategi bagi memastikan bola golf masuk ke lubang. Semua itu mencabar diri saya.

"Dulu saya suka main bola sepak tetapi apabila semakin berusia, hendak berlari laju sedikit pun sudah terasa semput," ujarnya sambil ketawa.

Petang itu, bekas penyanyi kumpulan rock FRU itu sekali lagi membawa anaknya yang bercuti hujung minggu sambil bermain golf bersama-samanya.

Adam Eiman sudah tidak kekok menghayun batang golf yang mempunyai pelbagai jenis saiz dan kegunaan hasil tunjuk ajar bapanya itu.

Dia yang bercita-cita menceburi sukan golf tidak menafikan minat itu banyak didorong oleh bapanya yang melihat prospek cerah sukan tersebut.

"Untuk peringkat permulaan saya akan cuba menyertai mana-mana pertandingan golf remaja yang akan diadakan.

"Kalau ada peluang saya mahu menyertai atau mewakili sekolah ataupun pertandingan golf remaja peringkat Negeri Sembilan," katanya.

Selepas bermain golf, dua beranak itu menaiki kereta pacuan empat roda menuju ke kediaman mereka yang terletak tidak jauh dari situ.

Rumah agam empat bilik di atas tanah pusaka keluarganya dengan kos pembinaan mencecah RM300,000 itu merupakan aset baru Hattan.

Ia bolehlah dianggap sebagai rumah persinggahan penyanyi yang dilahirkan pada 21 Disember 1964 setiap kali pulang ke kampungnya itu.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top