Zed Zaidi mohon maaf

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED


hi 02.1

TARIKH 29 April akan merubah status Zed Zaidi menjadi seorang suami.



HANYA tinggal 24 jam sahaja lagi, pelakon tinggi lampai ini akan melalui fasa baru dalam hidupnya. Bakal bergelar suami kepada Natalia Mustafa Kamal atau lebih dikenali sebagai Nelly, 28, Zed Zaidi tidak mampu lagi menyembunyikan perasaannya yang bercampur baur ketika ini.

Bertemu dengannya pada majlis tayangan perdana program Astro Prima di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Zed dengan penuh teruja memberitahu dia memang sudah bersedia untuk bergelar seorang suami.

Mula berkenalan dengan Nelly sejak tiga tahun lalu, Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, 31, tidak menyangka persahabatan yang terjalin itu telah membawa mereka ke jinjang pelamin.

“Selama berkenalan dengan Nelly, memang tidak pernah timbul sebarang perasaan cinta kerana batasan kami hanyalah sebagai seorang sahabat.

“Memang kami kerap berhubung menerusi Facebook dan saya juga banyak membantunya tentang perniagaan butik dalam talian yang diusahakannya.

“Tetapi, pintu hati saya terbuka untuk melamar Nelly sebaik sahaja pulang daripada mengerjakan umrah pada bulan Mac tahun lalu. Pada mulanya dia agak terkejut tetapi dia tidak menunggu lama untuk menerima lamaran saya itu,” cerita Zed dalam nada penuh gembira kepada pihak media yang mengerumuninya petang itu.

Jika semuanya berjalan lancar, jelas Zed, majlis pernikahannya akan berlangsung pada malam esok (29 April) di Restoran Felda D’Saji, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Memandangkan lokasi tersebut hanya mengizinkan bilangan tetamu dalam jumlah yang terhad, sedari awal lagi Zed memberitahu majlisnya itu hanya akan dihadiri oleh ahli keluarga kedua belah pihak.

“Kerana itu, saya memohon maaf kepada pihak media kerana tidak dapat menjemput anda semua untuk membuat liputan majlis pernikahan saya.

“Usah bimbang kerana saya akan menjemput kalian ke majlis persandingan saya yang akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Jalan Mentakab, Kuala Lumpur pada 7 Mei ini,” ujar pelakon filem Bisikan Remaja dan Sembilu 2005 ini sambil mengedarkan kad jemputan untuk majlis resepsinya kepada pihak media.

Untuk majlis bersejarah itu, Zed dan Nelly sepakat memilih konsep Melayu tradisional yang telah mendapat penajaan dari Butik Dahlia Bridal yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Pihak pengantin lelaki juga akan memberi tujuh dulang hantaran dan akan dibalas pihak perempuan sebanyak sembilan buah dulang.

Namun, demi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak, Zed memberitahu wang hantaran terpaksa dirahsiakan.

Sementara itu, bagi majlis persandingan mereka pula, konsep moden tradisional menjadi pilihan kedua-dua bakal pengantin itu.

Mengakui bakal isterinya itu seorang yang cukup low profile dan pemalu, Zed menjelaskan atas alasan itu jugalah Nelly menolak untuk digandingkan bersama sebelum berkahwin.

Namun pun begitu, Zed dengan penuh jujur memberitahu dia berbangga dan bertuah memiliki Nelly sebagai belahan jiwanya.

“Alhamdulillah, dia cukup memahami dengan kerjaya seni saya dan apa yang perlu saya lalui dalam meniti perjalanan sebagai seorang artis.

“Mungkin juga dalam tempoh perkenalan kami itu juga membuatkan dia tahu dan sedar bagaimana keadaan sebenar dunia seni yang saya lalui.

“Insya-Allah, saya juga akan membuka sebuah lagi perniagaan berasaskan makanan bersama bakal isteri saya,” ujar Zed yang pernah menempa kemasyhuran menerusi drama rantaian Sembilu Kasih bersama Hetty Sarlene ini lagi.

Berbicara tentang soal perkahwinan, sememangnya Zed mengakui dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk dirinya sendiri.

“Cuma, saya pernah berkata pada diri saya alangkah manisnya kalau saya dapat bertemu jodoh pada usia 30 tahun.

“Alhamdulillah, Allah SWT mendengar permintaan saya itu dan nampaknya angka 31 itu cukup cantik untuk saya menjadi seorang suami,” ujarnya yang masih lagi bernaung di bawah pengurusan Aquila Emas itu.

Memang rancak perbualan dengan Zed pada petang itu terutama sekali ketika ditanya tentang persiapan perkahwinannya yang kini sudah siap sepenuhnya.

Ujarnya, dia tidak pernah menyangka persiapan perkahwinan memerlukan penelitian dan pengawasan yang rapi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

Mujurlah kata Zed, dia mendapat bantuan daripada keluarganya sendiri termasuk bakal keluarga mertuanya yang juga mahu melihat majlis perkahwinannya berada dalam keadaan terbaik.

“Memang meletihkan untuk saya juga kerana semakin hampir hari pernikahan saya, tawaran berlakon memang tidak berhenti sehingga tidak menang tangan saya dibuatnya.

“Mana tawaran yang saya terima dahulu, saya akan utamakan. Selebihnya, saya akan sempurnakan selepas majlis saya selesai semuanya,” katanya yang masih belum menetapkan destinasi bulan madu kerana terikat dengan komitmen seni yang dipersetujui terlebih dahulu.

Buat peminat setia Zed Zaidi, pastikan anda tidak ketinggalan menonton lakonannya dalam drama rantaian, Fatimah Juling The Series bermula 27 April lalu, 9 malam di saluran 105, Astro Prima.

Drama yang diterbitkan oleh A. Aida Productions itu turut dibintangi Linda Hashim, Beego, Andrea Abdullah, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Bob Lokman, Delimawati, Mak Jah dan Fathil Dani.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top