PERKEMBANGAN industri teater tempatan semakin meriah apabila sepanjang tahun pelbagai pementasan dianjurkan. Jika persembahan muzik terus mendapat sambutan menggalakkan, pementasan teater juga tidak kurang hebat membuatkan ramai peminat ternanti.
Dalam mengangkat martabat teater ke tahap membang�gakan, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) masih aktif menghasilkan pelbagai pementasan untuk tontonan peminat teater.
Menggunakan lokasi Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur, mungkin tidak ramai yang tahu sambutan pengunjung amat memberangsangkan.
Ini terbukti apabila dewan persembahan penuh setiap kali pementasan diadakan.
Bagi peminat teater muzikal, KSPP kembali mengadakan pementasan baru, Siti Zubaidah akan menemui peminat selama dua hari bermula 29 April ini jam 8.30 malam.
Berbanding pementasan lain, KSPP berbangga memperkenalkan pelakon mereka yang diberi kepercayaan atas bakat ditunjukkan.
Produser, Hartini Abdullah berkata, KSPP sentiasa berusaha mencungkil bakat baru dan menggalakkan mereka memajukan diri dalam bidang lakonan.
"Saya percaya naskhah kali ini dikenali ramai dan dipilih kerana keindahan cerita dan persembahan koreografi yang menarik.
"Di KSPP, kami menggunakan ramai bakat bukan saja boleh berlakon tetapi menyanyi dan menari. Saya mahu pementasan ini menjadi platform mereka menonjolkan diri dalam bidang seni," katanya.
Pengarah merangkap penulis skrip, Zahari Hamzah berkata, jalan cerita pementasan mungkin mempunyai persamaan dengan filem Siti Zubaidah arahan B N Rao pada 1961 yang dilakonkan Datuk Maria Menado bersama Nordin Ahmad dan Siput Sarawak.
Namun, ia tetap menjadi naskhah berbeza, tetapi masih memaparkan kecekalan wanita iaitu Siti Zubaidah yang menunjukkan semangat tinggi wanita menyelamatkan suami�nya, Sultan Zainal Abidin yang dikurung di negara China.
Watak utama kali ini dibawakan Siti Lela Mayang Zulkifli manakala Sultan Zainal Abidin (Muhammad Fikrie Mat Adan), Puteri Sajarah (Wan Farahani Wan Yusoff), Permaisuri Kuning (Shalinda Ismail), Puteri Rukiah (Ayu Syahira Sulaiman), Darman Syah (Fahizal Ismail), Raudah (Haslinda Mohd Ali) dan Zahrah (Norzaimaziah Mat Som).
"Teater ini menggunakan khidmat dua koreografer iaitu Jefri Mokhtar dan Rozilah Abdul Rahman manakala Azizi Abdul Rahman sebagai pengarah muzik.
"Idea menggunakan dua koreografer ini suatu yang bagus masing-masing mempunyai kemahiran tersendiri dalam aspek tarian yang diajar. Seperti Rozilah, dia tahu koreografi tarian kontemporari dan silat manakala Jefri arif dengan tarian tradisional," katanya.
Zahari berkata, teater Siti Zubaidah dianggap kisah sastera Melayu terkenal memaparkan kehebatan wanita yang mengangkat harga diri.
Katanya, persembahan teater itu masih mengikut cerita asal untuk mengelak penonton keliru.
"Cerita yang disampaikan memang padat. Malah, setiap lagu yang disampaikan membawa makna tersendiri. Apabila lagu dinyanyikan, dialog pula dikurangkan.
"Teater ini mengambil masa persiapan selama lebih dua bulan membabitkan 39 pelakon dan 15 pemuzik. Memberi kelainan, penggunaan kostum yang cantik juga memberi tarikan pada penonton," katanya.
Kata Jefri, dia juga berbincang bersama pengarah dalam mendapatkan tarian yang dimahukan sebelum latihan bermula.
Bagi mendapatkan hasil persembahan yang memberi kepuasan, perbincangan antara Zahari bersama Azizi dilakukan untuk mendapatkan hasil lagu terbaik.
Kata Azizi, Zahari bertanggung�jawab menyumbang lirik dan penciptaan lagu dibuat mengikut lirik yang diberikan.
Kepada peminat, tiket �menyaksikan pementasan ini pada harga RM60 untuk tempat duduk premium, RM50 (A), RM30 (B) dan RM15 (C) boleh dibeli menerusi kaunter box office di DFP yang dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 6 petang manakala bermula 12 tengah hari pada Ahad.
Tempahan tiket menerusi telefon boleh dibuat dengan menghubungi 03-2051 7007, 03-2051 7077 (faks) atau emel, dfp_boxoffice@petronas.com.my.
Maklumat lanjut mengenai pementasan teater muzikal Siti Zubaidah sila melayari
di laman sesawang, www.dfp.com.my atau www.mpo.com.my.
0 ulasan:
Catat Ulasan