Siti Zubaidah versi berbeza
Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN
roni.ridwan@kosmo.com.my
|
SITI LELA MAYANG ZULKIFLI bertanggungjawab menjadi Siti Zubaidah dan Sultan Zainal Abidin dilakonkan oleh Muhammad Fikrie Mat Adan. |
KISAH mengenai Siti Zubaidah sememangnya ada tercatat dalam lipatan sejarah sebagai seorang wanita cekal dan mempunyai semangat yang tinggi untuk menyelamatkan suaminya yang telah dikurung dalam penjara di negara China.
Malah, kisah mengenai wanita yang merupakan isteri kepada pemerintah Sultan Zainal Abidin, Raja Muda negara Kembayat itu juga pernah difilemkan sekitar tahun 1961 dan dipentaskan di Istana Budaya 11 tahun yang lalu.
Kali ini Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) pula yang akan mementaskan teater muzikal Siti Zubaidah yang akan dipersembahkan selama dua hari bermula esok, (29 April).
Penerbit persembahan, Hartini Abdullah berkata, pementasan teater berkenaan dilakukan bagi memberi penghormatan dan semangat kaum wanita yang dilihat relevan pada hari ini.
Menurutnya, meskipun kisah wanita berkenaan pernah difilemkan dan dipentaskan sebelum ini, namun pementasan yang dibuat oleh KSPP ini agak berbeza dari sudut olahan ceritanya.
"Menariknya, semua yang terlibat dalam pementasan muzikal ini adalah terdiri daripada artis budaya KSPP termasuklah para pelakon, koreografer, pereka kostum dan set," ujarnya.
Menurutnya lagi, muzikal yang akan dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumour itu diarahkan oleh Zahari Hamzah yang juga bertindak sebagai penulis skrip, Azizi Abdul Rahman (pengarah muzik) serta dua orang koreografer iaitu Jefri Mokhtar dan Rozilah Abdul Rahman.
BERSEDIA. Barisan Kumpulan Seni Persembahan Petronas yang bakal terbabit pada persembahan teater muzikal Siti Zubaidah di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada malam esok.
Sementara watak sebagai Siti Zubaidah dilakonkan oleh Siti Lela Mayang Zulkifli, Sultan Zainal Abidin (Muhammad Fikrie Mat Adan), Puteri Sajarah (Wan Farahani Wan Yusoff), Permaisuri Kuning (Shalinda Ismail) dan Puteri Rukiah (Ayu Syahira Sulaiman).
Siti Zubaidah mengisahkan mengenai seorang isteri yang tidak disukai oleh bonda Sultan Zainal Abidin iaitu Permaisuri Kuning berbanding isteri kedua sultan iaitu Puteri Sajarah.
Sewaktu baginda sultan pergi memburu kijang untuk Siti Zubaidah yang sedang mengidam kerana mengandung anak sulung, baginda telah diculik oleh Kilan Cahaya dan dibawa ke China.
Dua koreografer
Menariknya, untuk pementasan muzikal ini, ia melibatkan khidmat dua orang koreografer iaitu Jefri Mokhtar dan Rozilah Abdul Rahman.
Menurut pengarah, Zahari Hamzah, ia merupakan satu kelainan yang akan cuba ditampilkan memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
"Misalnya, Jefri mempunyai kemahiran dalam seni tarian tradisional, manakala Rozilah pula lebih mahir kepada tarian kontemporari. Jadi kedua-dua jenis tarian akan digabungkan dalam pementasan ini," jelasnya.
Sementara itu, Zahari juga memberitahu, tempoh selama dua bulan telah diambil untuk persiapan pementasan muzikal berkenaan.
"Sebanyak 38 orang pelakon serta 15 orang pemuzik yang terbabit. Sementara, ada 27 buah lagu yang akan dinyanyikan serta digubah sepenuhnya oleh Azizi Abdul Rahman.
Mengenai kostum pula, Zahari menjelaskan, kostum yang dipakai adalah berdasarkan kepada pemakaian yang diilhamkan dari negeri Kelantan.
Ujarnya, berdasarkan kajian dan pembacaan yang dibuat, dia mendapati ada dua versi yang mengatakan kisah Siti Zubaidah berasal dari negeri Kelantan dan Kedah.
"Setelah berbincang, kami mengambil keputusan untuk memaparkan kisah Siti Zubaidah yang berasal dari negeri Kelantan," ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan