Jamal kini lebih eksklusif

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

hi 02.1

JAMAL pada sidang pengumuman dirinya sebagai penyanyi undangan untuk Sambutan Hari Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Pengarah Urusan PWTC, Sukhidir Kemat (kanan).


BUKAN niat Jamal Abdillah ingin mendabik dada meminta bayaran yang tinggi setelah dirinya sering menjadi pilihan penganjur mahupun penerbit. Penyanyi bersuara emas yang tidak pernah putus dengan undangan persembahan Minggu Setiausaha dan sambutan Hari Ibu pada setiap tahun itu mengaku, tidak dapat memenuhi permintaan Aziz M. Osman untuk tampil membawakan watak Zack ketika tua menerusi filem Azura 2011.

Apa yang diharapkan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali adalah sekadar dirinya menjadi eksklusif untuk tatapan mahupun halwa telinga peminatnya.

"Saya kini akan lebih berhati-hati menerima tawaran nyanyian mahupun lakonan. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti filem Azura dahulu. Saya menerima bayaran yang sedikit malah tidak menerima apa-apa walaupun filem itu diulang tayang beberapa kali di kaca TV.

"Memang saya ada menerima tawaran berlakon watak Zack ketika tua dalam filem Azura 2011, tetapi saya tolak kerana bayaran yang diberikan tidak setimpal," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Sambutan Hari Ibu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Menurut pelantun lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu, tujuannya berbuat demikian bukan disebabkan demand tetapi sekadar ingin menjaga nilai eksklusif diri.

Bagaimanapun Jamal memberitahu, tidak semua tawaran nyanyian mahupun lakonan akan diletakkan harga yang tinggi. Dia masih memenuhi undangan ke majlis membabitkan kerjasama dengan kerajaan mahupun persembahan amal.

Mengenai persembahan sempena Hari Ibu di PWTC pada 17 Mei nanti, Jamal memberitahu, dia sangat teruja apabila buat tahun kedua diundang sekali lagi membuat persembahan buat ibu-ibu.

Merancang membuat kejutan memilih tetamu bertuah menyanyi karaoke bersamanya di atas pentas pada Hari Ibu nanti, Jamal turut menyediakan cenderahati istimewa untuk teman duetnya yang paling serasi membawakan lagu Sandarkan Pada Kenangan dan Kehebatan Cinta.

"Pada persembahan selama satu jam setengah itu, saya akan menyanyikan 15 buah lagu popular termasuk sebuah lagu ciptaan Fauzi Marzuki, Bonda yang tidak pernah dinyanyikan di mana-mana persembahan saya," katanya mengenai majlis yang juga dikendalikan oleh pengacara komedi, Dee.

Selain Jamal dan Dee, persembahan pada Hari Ibu itu nanti turut diserikan dengan alunan trompet daripada peniup trompet muda, Alif Nasir.

Bagi yang mahu membuat tempahan boleh hubungi talian 03-26146701 atau 03-26146702.

Jualan meja dengan harga RM5,000, RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 untuk sepuluh orang sudah mula dijual. Pihak PWTC juga menerima tempahan secara individu.

Menyentuh soal hati pula, Jamal mengaku masih ingin berkahwin dan memerlukan teman hidup tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

"Siapa yang tidak mahu berkahwin lagi setelah hidup sunyi tanpa teman di sisi. Cuma biarlah ia datang sendiri. Lagipun ketiga-tiga perkahwinan saya sebelum ini bekas isteri-isteri saya yang memulakan langkah dahulu," akuinya jujur.

Setelah menitip tiga pengalaman dalam tiga perkahwinannya sebelum ini, Jamal kini ingin memberi sepenuh perhatian terhadap kedua orang puteranya, Osama Yamani, 11 dan Ahmad Zaki Yamani, 5.

Ujarnya, selain anak-anak perhatiannya juga tertumpu pada syarikat miliknya, Trading, Supply and Services.

"Sekarang ini tumpuan saya lebih kepada anak-anak, persembahan nyanyian dan syarikat yang baru hendak berkembang. Memang jadual saya sangat sibuk sehinggakan anak-anak sering bertanya kenapa saya sering pulang lewat ke rumah," katanya juga yang masih tidak serik berlakon lagi.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini pula, Jamal memberitahu, bakal menghasilkan album baharu berjudul Raja Pop 2 yang bakal dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

Katanya, album yang dihasilkan menerusi bajet syarikat miliknya sendiri itu bakal memuatkan lagu-lagu popular sekitar tahun 50-an dan 60-an termasuk dua lagu baharu yang dirakamkan.

"Semua lagu-lagu lama itu akan diberi nafas baharu menerusi susunan semula irama untuk disesuaikan dengan rentak masa kini. Hampir setahun proses pembikinan lagu cuma tinggal satu lagu sahaja yang bakal diringi Orkestra RTM belum dirakamkan," katanya mengenai album baharunya itu.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top