Laporan oleh Fishbase 2011 menyebut bahawa sebahagian besar ikan itu terdapat di Semenanjung Malaysia, lima spesies di Sarawak dan empat spesies di Sabah. Daripada jumlah itu beberapa jenis pula telah dikenalpasti berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan.
Antara spesies yang telah dikenalpasti ialah Betta bellica, Betta coccina, Betta persephone, Betta livida, Betta pulchra, Betta fusca dan Betta pugnax. Peminat ikan betta itu termasuklah mereka dari Jerman, United Kingdom, Amerika, Jepun, Taiwan dan China.
Uniknya spesies itu adalah ia hanya ditemui di rantau Nusantara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Sehubungan dengan itu, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Glami Lemi di Jelebu, Negeri Sembilan telah mengenal pasti beberapa spesies ikan hiasan tempatan terutamanya ikan betta yang sangat berpotensi dikomersialkan untuk pasaran dalam dan negara, kata Pengarah FRI Glami Lemi, Zulkafli Abdul Rashid.
Maklumat mengenai potensi spesies tempatan ikan hiasan itu sebenarnya telah dikumpulkan sejak tahun 2000.
Menurut Zulkafli, FRI telah memulakan kajian dengan menjalankan aktiviti pengumpulan spesimen ikan dari habitat semula jadi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Spesimen ikan liar betta yang berjaya dikumpul akan dipelihara dan dijinakkan dalam tangki di makmal FRI Glami Lemi sehingga matang dan boleh membiak. Setakat ini, 10 spesies betta telah dapat dijinak dan dibiakkan dalam makmal.
Zulkafli berkata, satu baka baru jenis Betta Bellica, yang berasal dari hutan simpan paya gambut di Pagoh, Johor dan Sabak Bernam, Selangor, berjaya dibiak dan dijinakkan dalam tangki dan berpotensi besar untuk dipasarkan.
Spesies itu dilaporkan telah banyak terancam dan diharapkan usaha pembiakan dapat diteruskan pula oleh penternak yang berminat untuk tujuan komersial.
"Spesies ini juga dikenali sebagai ikan pelaga hijau, tempala atau sepilai oleh penduduk tempatan tapi kami menamakannya Betta Manja kerana sifatnya yang begitu manja ketika lapar," jelas beliau.
Berpotensi dikomersialkan
Keistimewaan ikan hiasan itu ialah ia tidak berlaga sesama sendiri seperti ikan pelaga Siam, selain mempunyai warna badan yang cantik, bercoklat gelap, sisik berwarna hijau berkilat, mata berwarna biru berkilat dan sirip ekor yang panjang berbentuk nyalaan lilin.
"Ia sangat jinak dan makan di atas jari pemiliknya. Spesies ini berpotensi dikomersialkan dengan mengambil kira kecantikan, warna, keunikan sifat dan jumlah anak yang dapat dihasilkan," katanya.
Pegawai penyelidik kanan FRI Glami Lemi, Mohamad Zaini Suleiman pula berkata, ikan itu berpotensi dibiakkan dalam kurungan (tangki) sebab sepasang ia boleh menghasilkan 200 ekor anak.
"Jadi, dalam tempoh enam atau tujuh bulan, saiznya mencecah kira-kira tiga setengah inci dan boleh dipasarkan pada harga RM5 seekor manakala induknya RM10 hingga RM15 seekor.
"Ia juga boleh dikomersialkan dan dipelihara dalam tangki untuk dijadikan peliharaan kesayangan kerana keistimewaannya yang tidak takut untuk makan di tangan tuannya.
"Tidak mustahil pada masa hadapan, ikan ini boleh dijadikan sebagai ikan spa untuk urutan dan perubatan," katanya.
Pengarah teknikal dan pengeluaran Aquatics International Sdn. Bhd., Syed Abas Alattas, berkata, sehingga kini belum ada penternak ikan betta liar secara komersial di Malaysia. Pihak beliau akan mengimport ikan itu dari Thailand sekitar 20,000 ke 30,000 ekor sebulan untuk dieksport semula ke negara lain.
"Memang kita dapat keuntungan, tapi kalau boleh dikeluarkan secara komersial di Malaysia adalah lebih baik," katanya.
Sementara itu, satu kolokium sehari telah diadakan di FRI Glami Lemi baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada golongan sasar akan potensi ikan betta bagi meningkatkan pendapatan.
"Di samping menjana pendapatan, kolokium ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada peserta tentang perlunya konservasi terhadap khazanah semula jadi kita yang sangat bernilai untuk diwariskan kepada generasi akan datang," kata Zulkafli.
Kolokium dengan tema "Khazanah Warisan Penjana Kekayaan" itu diadakan untuk membentangkan kepada masyarakat terutama yang terlibat dalam industri perikanan mengenai kejayaan dalam penyelidikan perikanan. - Bernama
0 ulasan:
Catat Ulasan