Ramli Sarip tetap hebat
Oleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
Gambar ABDUL NIZAR MHAMED
|
SERBU… Ramli diserbu oleh para hadirin Minggu Setiausaha anjuran PWTC. |
BIARPUN berusia lebih separuh abad, aura dan kehebatan Papa Rock Ramli Sarip masih tegar dan tidak pernah hilang auranya.
Suara serak-serak basah yang dimiliki penyanyi kelahiran Singapura itu masih lagi mampu membuai khayalan peminat dengan alunan lagu-lagu malar hijaunya.
Ternyata kehebatan yang ada pada legenda rock ini masih mampu memukau sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahannya.
Buktinya, dalam persembahan lebih dari sejam pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Minggu Setiausaha anjuran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur baru-baru ini, kemunculan Ramli disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh.
Siapa sangka penyanyi yang akan menginjak usia 60 tahun, tahun depan itu masih digilai masyarakat tanpa batasan usia.
Rata-rata para setiausaha yang hadir pada majlis itu nyata terhibur dengan persembahan bertenaga Ramli yang sempat mendendangkan 12 buah lagu.
Dalam persembahan pada majlis yang diadakan selama dua hari itu, Ramli membawa para setiausaha dan hadirin yang berada dalam Dewan Merdeka, mengimbau kenangan lalu dengan lagu-lagu yang telah melonjakkan nama Ramli Sarip di persada seni hiburan tanah air.
Membuka tirai dengan menyampaikan lagu Inggeris berjudul You Are So Beautiful, kemunculan Ramli di atas pentas terus-terusan mendapat sorokan dan tepukan sehingga gegak gempita bunyi dalam dewan tersebut.
Tidak cukup dengan itu, lagu Kamelia, Jangan Tunggu Lama-Lama dan Jikalau Berkasih terus kukuh menggamit perasaan hadirin yang turut sama, menyanyikan lagu-lagu tersebut.
Bukan sekadar menghiburkan, Ramli dalam bicaranya sempat menyelitkan nasihat kepada para setiausaha agar tidak berlebih-lebihan dalam menggunakan nikmat yang dipinjamkan oleh Yang Maha Esa.
Suasana pada petang itu bertambah gamat dengan sorakan dan siulan para hadirin apabila Ramli menyelitkan beberapa rangkap lagu puisi yang dirakamkannya pada tahun 1986 iaitu Aku Menulis Bukan Kerna Nama.
Kala itu, dapat dilihat mulut yang terlopong, pantas bersama ‘melayan’ lagu berkenaan.
“Terima kasih kerana masih sudi untuk melihat persembahan insan purba ini,” seloroh Ramli yang menganggap dirinya ‘purba’ disebabkan oleh usianya itu.
Biarpun Ramli sering merujuk perkataan purba bagi menggambarkan usianya, persembahan yang ditonjolkan Ramli mengalahkan persembahan artis remaja dan langsung tidak membosankan.
Pucuk dicita ulam mendatang, itulah yang dapat digambarkan tatkala Ramli melangkah turun dari pentas sambil mendendangkan lagu keramatnya, Teratai.
Setiap meja yang disinggahi oleh Ramli pasti tidak dilepaskan oleh para hadirin terutamanya setiausaha yang turut sama mengalunkan bait-bait lagu Teratai.
Kesempatan merakamkan foto bersama Ramli tidak disia-siakan oleh hadirin kerana itulah peluang keemasan bagi mereka untuk bergambar dengan ikon rock negara.
Tanpa Datuk Khatijah Ibrahim yang menjadi rakan duet lagu Doa Buat Kekasih, Ramli memilih dua orang setiausaha untuk naik ke pentas bagi mendendangkan lagu ‘membunuh’ jiwa itu.
Tamat persembahan, Pengarah Pemasaran Komunikasi, PWTC , Fadzilah Said berkata, sambutan yang diterima sepanjang dua hari penganjuran majlis makan tengahari sempena minggu setiausaha itu amat menggalakkan.
Kehadiran lebih daripada 1000 orang pada majlis berkenaan diluar jangkaan yang disasarkan.
“Kita gembira dengan sambutan yang amat menggalakkan memandangkan penganjuran kali ini merupakan yang pertama setelah hampir lima tahun PWTC tidak menganjurkan Minggu Setiausaha.
“Memandangkan sambutan yang menggalakkan ini, insya-Allah kita akan menjadikan ia acara tahunan selepas ini,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan