Belum ada tarikh kahwin – Yusry
KERJAYA seni Yusry dilihat sama naik dengan gosip-gosip cintanya. Sebelum ini nama Yusry dikaitkan dengan Maya Karin dan Kilafairy, bagaimanapun kedua-dua wanita itu hanya berlalu dalam gosip.
Yusry mengaku yang dia agak rimas dengan gosip-gosip sebelum ini kerana semuanya tidak benar.
“Saya rimas kalau gosip itu tidak benar. Dulu masa gosip dengan Maya, banyak kali saya cakap bahawa saya dengan dia hanya kawan biasa sahaja. Kes Kilafairy lagi saya tidak tahu macam mana boleh timbul isu itu sebab memang tidak benar sama sekali,” ujarnya.
Namun berbeza pula dengan gosip cintanya bersama Lisa Surihani, Yusry tanpa segan silu mengaku yang dia kini sedang berkawan rapat dengan Lisa.
Malah, sebagai lelaki, Yusry mengaku yang dia tertarik dengan karakter dan personaliti Lisa.
“Sudah hampir dua bulan saya rapat dengannya dan dalam proses mengenali hati budi. Kalau dulu saya hanya berborak di BBM (BlackBerry Messenger) dan tidak tahu perangai sebenarnya tetapi sekarang saya tahu dia seorang wanita yang matang walaupun usianya jauh lebih muda daripada saya,” katanya.
Tambah bekas suami kepada penyanyi dan pelakon Erra Fazira itu, dia selesa berada di samping Lisa kerana meskipun Lisa seorang wanita yang sopan santun tetapi dia memiliki pengetahuan yang luas.
“Kalau berjumpa, rancak juga kami berbual. Saya boleh sembang macam-macam dengan dia, walaupun nampak ayu tetapi dia boleh bersembang mengenai bola, kebetulan saya pula peminat pasukan Manchester United, jadi lagi seronoklah kami bersembang,” ucapnya.
Sungguhpun begitu tegas Yusry, masih terlalu awal untuk berbicara lebih jauh mengenai hubungannya dengan Lisa kerana mereka baru sahaja berkawan.
“Untuk bercakap lebih-lebih saya rasa belum lagi kerana kami baru dua bulan berkawan rapat. Saya juga tidak akan berselindung kalau saya benar-benar suka seseorang wanita kerana saya bukannya lagi artis yang kena menjaga pasaran,” katanya dalam tawa.
Apabila disoal adakah keluarganya mengetahui mengenai hubungannya dengan Lisa, jawab Yusry: “Keluarga saya tahu tetapi saya belum lagi bawa Lisa jumpa keluarga saya tetapi mereka pernah terserempak dengannya dalam beberapa acara. Ibu saya juga tidak mengawal dengan siapa saya berkawan kerana saya bukannya muda lagi.
“Saya juga tidak tetapkan bila saya mahu berkahwin lagi, belum ada tarikhnya (ketawa). Jika benar saya sudah bertemu dengan wanita yang benar-benar sesuai untuk dijadikan isteri, saya tidak akan tunggu lama-lama, saya akan kahwin terus.”
0 ulasan:
Catat Ulasan