Karl di KL Metal Camp

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AMIRA AZMAN


hi 02.1

KARL bakal mengubat rindu peminat Cromok pada Konsert KL Metal Camp 2011 di One Cafe, Kuala Lumpur 1 Mei ini.



TAHUN ini Konsert KL Metal Camp masuk tahun kelima anjuran syarikat rakaman Nebiula Productions di mana ia dijayakan oleh kumpulan-kumpulan metal terkenal tempatan.

Pemilik syarikat itu, Ramze Hamid berkata, tahun ini konsert yang mengenakan tiket RM30 itu menampilkan dua kumpulan terkemuka, Sofea dan Karl Cromok sebagai tarikan utamanya.

Menurutnya, Konsert KL Metal Camp 2011 buat julung-julung kalinya menampilkan dua kumpulan itu selepas hampir 20 tahun mereka tidak muncul di atas pentas persembahan.

“Tidak dinafikan setiap tahun KL Metal Camp yang merupakan aktiviti tahunan kami menampilkan pelbagai kelainan. Tahun ini kelainan dan tarikan utama konsert ini ialah Sofea dan Karl Cromok.

“Ini kerana, dua kumpulan itu bukan sahaja sudah lama tidak mengadakan konsert tetapi mereka masih mempunyai peminat yang ramai,” katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karl atau Khairul Anuar Shariff, 45, yang merupakan gitaris kumpulan thrash metal, Cromok akan muncul biarpun tidak bersama anggota-anggota asal kumpulan tersebut.

Sebaliknya, dia akan muncul bersama tiga pemuzik undangan iaitu Shah Sidious selaku gitaris, Zali Dethstroke (dram) dan Hafiz Fedora (bassis) pada konsert yang dinanti-nantikan ramai itu.

“Kali terakhir saya muncul bersama Cromok ialah pada tahun 1996 menerusi album Yours Truly. Saya juga akan mempromosikan album solo saya berjudul Shred It Back pada konsert itu nanti.

“Persembahan saya itu nanti sedikit sebanyak mampu mengubat rindu para peminat saya dan Cromok. Saya juga mungkin akan menyampaikan lagu Cromok secara instrumental,” ujarnya penuh optimis.

Sementara itu, vokalis kumpulan Sofea, Amiruddin Zulkefli atau Ami juga teruja untuk muncul pada Konsert KL Metal Camp 2011 selepas hampir 20 tahun tidak mengadakan persembahan pentas.

Jelas bapa kepada tujuh anak dan berasal dari Manjoi, Ipoh, Perak ini, dia akan menyanyikan lagu-lagu lama Sofea dan bekas kumpulannya, SYJ pada persembahannya dengan durasi sekitar 40 minit itu kelak.

“Antara lagu yang akan saya sampaikan bersama Sofea pada konsert itu bertajuk Hati Syaitan, Orang Timur dan juga lagu Red Hot yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Motley Crue.

“Kami muncul semula di atas pentas persembahan selepas pihak penganjur begitu beriya-iya mahukan kemunculan Sofea pada konsert ini menyebabkan kami agak terkejut.

“Saya terpaksa mengumpulkan anggota-anggota Sofea dan kami pula hanya sempat berlatih tidak sampai sebulan untuk konsert ini,” katanya yang seperti tidak sabar muncul pada Ahad ini.

Selain Amir, anggota-anggota Sofea yang akan muncul di One Cafe, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pukul 3 petang itu ialah Man Rani (bassis), Nuar SYJ08 (gitaris) dan Nahar (dram).

Selain Karl Cromok dan Sofea, kumpulan-kumpulan metal lain yang menjayakan KL Metal Camp 2011 ialah As Sahar, Fastkill, Scum, Damokis, Kazana dan Voltan.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top