Dunia perubatan Ashraf, Dayana


ASHRAF dan Dayana merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka di Mekah.



BERMULA daripada teman sekerja, akhirnya perkenalan selama setahun lebih membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih jauh iaitu pertunangan. Semuanya gara-gara minat dalam bidang perubatan yang menyatukan aktor Ashraf Muslim, 30, dan bakal doktor, Noor Dayana Lokman, 24.

Dayana yang kini merupakan pelajar tahun akhir jurusan klinikal di Kolej Perubatan Manipal, Melaka, manakala Ashraf pula semakin aktif mendalami bidang perubatan alternatif menggunakan ayat al-Quran di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bersama rakan kongsinya yang merupakan bapa kepada Dayana.

“Saya kenal dia sejak setahun lebih. Sebelum itu saya terlebih dahulu mengenali keluarganya kerana bekerjasama dengan bapanya dalam perniagaan.

“Selepas dia pulang dari India dan meneruskan pengajian di Melaka, kami mula rapat kerana sering bekerja bersama-sama.

“Kami juga sering bertukar pendapat mengenai bidang perubatan kerana cabang kami berbeza, dia dengan perubatan moden, manakala saya pula dengan perubatan alternatif,” kata Ashraf yang ditemui sejurus majlis pertunangannya selesai di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor.

Kata Ashraf lagi, dalam tempoh masa setahun setengah itu perasaan cinta mula berputik secara perlahan-lahan apabila dia melihat Dayana memiliki ciri-ciri calon isteri yang dicarinya.

“Cinta saya kepadanya bukan cinta pandang pertama sebaliknya cinta pandang berkali-kali (ketawa). Perlahan-lahan perasaan itu timbul disebabkan kekerapan kami bekerja bersama.

“Dia juga sering membantu saya merawat pesakit di Melaka, malah apabila saya bawa dia jumpa keluarga saya di Melaka, dia senang serasi dengan adik-beradik saya yang lain.

“Apa yang saya suka padanya adalah dia seorang wanita yang solehah, pandai memasak dan serasi dengan saya selain kami mempunyai minat yang sama,” jawab Ashraf lagi.

Sambung anak sulung daripada lapan adik-beradik itu lagi, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyuarakan hasrat hatinya itu kepada bapa Dayana, Lokman Abdul Hamid dan terus merancang pertunangan pada awal tahun ini.

“Saya yang mula-mula buka mulut untuk bertunang kepada keluarga saya, mereka setuju kerana sudah kenal dengan Dayana.

“Kalau ikutkan ceritanya, sebenarnya pada peringkat permulaan saya bagi kiasan kepada bapanya yang saya menyukai Dayana dan kemudian baru saya beritahu Dayana yang mahu bertunang dengannya. Tetapi bapanya dapat menghidu hasrat saya tanpa saya memberitahunya.

“Tanpa banyak soal, dia yang menyuruh saya menyegerakan pertunangan kalau benar saya sudah sukakan anaknya. Jadi, benda yang elok buat apa nak tunggu lama-lama,” luah Ashraf.

Dayana kagumi Ashraf

Dayana yang tersipu malu di sebelah Ashraf ketika temu bual dijalankan mengaku tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadi tunangan dan kemudian isteri kepada seorang aktor popular.

“Memang tidak sangka saya akan bertunang dengannya hari ini kerana pada mulanya hubungannya dengan keluarga saya adalah adik angkat kepada bapa saya dan sama-sama menjalankan perniagaan.

“Disebabkan kami sering bekerja bersama-sama, daripada mengundang fitnah lebih baik disegera perkara yang baik,” balasnya.

Sambung Dayana, dia terpikat dengan Ashraf kerana kagum dengan perubahan diri Ashraf dan menyifatkan Ashraf sebagai lelaki yang baik.

Malah, dia juga telah bersedia mengharungi segala cabaran selepas bergelar isteri kepada Ashraf kelak.

“Dia baik, saya kagum dengan perubahannya. Saya menerimanya seadanya dan sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab seorang isteri serta mengharung cabaran bersamanya,” tutur Dayana dalam nada suara yang lembut.

Nikah dii Mekah

Majlis pernikahan mereka pula dijadualkan bakal berlangsung pada 30 Ogos depan bersama dengan 1 Syawal di Mekah.

Tegas Ashraf, dia telah lama menyimpan impian untuk bernikah di Mekah apabila bertemu dengan wanita yang benar-benar menambat hatinya.

“Tidak kisahlah jodoh saya dengan siapa pun, tetapi saya memang ada menyimpan hasrat untuk bernikah di Mekah. Alhamdulillah, rezeki dan jalan untuk bernikah di sana sudah terbuka.

“Saya akan pergi pada 17 Ogos iaitu dua minggu terakhir bulan Ramadan. Saya ke sana untuk menunaikan umrah, melawat pesakit di sana bersama bakal bapa mertua saya dan juga bernikah. Kira dua dalam satu, semuanya dilakukan serentak,” katanya yang juga menjalankan perniagaan pakej melakukan umrah di sana.

Bukan mahu menunjuk tetapi terang Ashraf, selain sudah lama menyimpan niat, dia mempunyai sebab untuk bernikah di Mekah.

“Kalau ikut zaman khalifah dan sahabat Nabi Muhammad, bernikah di Mekah sudah menjadi amalan, jadi apa salahnya saya mahu mengikut amalan mereka. Niat saya ikhlas dan berharap pernikahan itu akan lebih berkat,” katanya yang popular dengan drama Ustaz Amirul.

Majlis resepsi perkahwinan mereka pula dijangka bakal berlangsung di dua lokasi iaitu Shah Alam dan Melaka, bagaimanapun semuanya masih di dalam peringkat perbincangan.

“Kami akan adakan kenduri selepas pulang dari Mekah, tetapi masih terlalu awal untuk saya memberikan butirannya kerana semuanya masih dalam peringkat perbincangan,” jawab Ashraf sambil tersenyum.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top