SEPERTI yang pernah dijanjikan tatkala lemas diulit persoalan peribadi, jika benar ketentuan dirinya bertemu jodoh, ia tidak sekali disembunyikan.

Lantas, tanggal 29 Mei depan Kelab Ekuestrian Bukit Kiara bakal menyaksikan majlis pertunangan penyanyi dan pelakon Elly Mazlein dengan kekasihnya, pengarah Azmi Mohd Hata.

Enggan lupa janji dan sentiasa menghargai teman media serta peminat yang tidak henti menyokong kerjayanya, Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi bercerita mengenai perancangan pertunangannya tidak lama lagi.

Katanya, pengumuman �berkenaan sesuatu yang istimewa.


Bukan setakat ingin berkongsi detik indah bersama peminat, malah begitu bahagia apabila bebas menceritakan perihal lelaki yang amat disayangi.


"Jika sebelum ini saya hanya mendengar dan membaca kisah bahagia teman artis lain, namun kini saya sendiri berpeluang berkongsi kisah cinta saya.

"Alhamdulillah, saya masih berpegang dengan janji dan lihat saja hari ini, saya berkongsi episod bahagia dalam jiwa saya. Saya akan melangsung�kan majlis pertunangan dengan kekasih yang benar-benar menepati pilihan saya sendiri. Doakan semuanya berjalan lancar," katanya tersenyum.

Majlis pertunangannya bakal diadakan sebelum Zuhur, akan dihadiri keluarga terdekat dan teman media. Majlis itu juga turut mendapat tajaan Reka Teemor yang menyusun segala konsep dan perjalanan majlis agar ia menjadi kenangan manis buat pasangan ini.

Busana pula, si manis berusia 30 tahun ini memilih untuk memperagakan rekaan Busana Cinta dengan mengangkat �warna kegemarannya, merah jambu untuk melilit tubuhnya nanti.

"Majlis ini adalah simbolik kepada cerita cinta kami berdua yang mana ia akan diselaputi rasa sayang dan meriah namun semuanya masih sama, berpaksi pada kesederhanaan dan ringkas.

"Kami inginkan sesuatu yang indah dan menghargai semua keluarga dan teman media yang selama ini tidak henti menyokong. Insya-Allah, apa yang pernah kami impikan akan direalisasikan nanti," katanya.

Mengenali Azmi yang juga pengarah filem Duhai Si Pari-Pari dan beberapa drama tempatan sejak tiga tahun lalu sebelum serius pertengahan 2009, anak bongsu daripada tiga beradik ini menyifatkan hubungannya dengan pengarah berusia 36 tahun itu sebagai sesuatu yang istimewa dan memberikannya sejuta kebahagiaan.

Elly yang sebelum ini popular menerusi deretan drama siri termasuk Na-O-Mei turut mengakui bakal tunangannya seorang duda dan mempunyai dua orang anak.

Bicaranya tersusun kemas, sesekali terlihat senyumannya meleret menzahirkan rasa bahagia penuh cinta yang bersarang jauh dalam jiwanya.

Hadir sama untuk sesi fotografi dan temu bual eksklusif petang Rabu lalu ialah ibunya.

Anak kelahiran Slim River, Perak ini tidak henti berkongsi cerita mengenai majlis pertunangannya dan sifat lelaki yang bakal memimpinnya ke gerbang perkahwinan nanti.

"Saya yakin Azmi adalah lelaki yang boleh memimpin saya ke gerbang kebahagiaan dan membina keluarga sejahtera.

"Saya percaya dia seorang yang bertanggungjawab, bijak, menghormati orang tua dan seorang yang penyayang hingga membuatkan saya mengambil keputusan untuk menerima lamarannya.

"Bayangkan, sepanjang kami bercinta dalam dua tahun ini, setiap hari kami tidak lekang berhubung antara satu sama lain. Berpuluh-puluh mesej dan panggilan yang kami lakukan untuk bersembang.

"Ada saja yang boleh kami bincangkan tanpa ada sekelumit rasa bosan dan kosong. Saya lihat, keserasian dan berkongsi minat dan rasa yang sama membuatkan hubungan ini terus kuat dan utuh.

"Saya percaya dengan keikhlasan dan kejujuran Azmi. Dia begitu penyayang dan bijak mengambil hati saya serta keluarga. Kelakarnya, Azmi sentiasa membuatkan saya ketawa dan seronok setiap kali bersama.

"Jujurnya, sejak dulu saya tidak pernah merahsiakan persahabatan kami. Kami selalu keluar bersama cuma kami sepakat untuk tidak mengumumkan apa-apa kerana bimbang ia hanya satu omong kosong. Justeru, apabila ia sudah sah seperti ini, kami tidak fikir dua kali untuk berkongsi kepada semua," katanya.

Elly yang pernah terkenal menerusi filem GK3 The Movie, Tangkai Jering dan Janji Diana turut mengesahkan bakal melangkah ke jenjang pelamin selewat-lewatnya Februari depan.

"Masalah utama kami adalah faktor masa dan jadual kerja yang sangat padat. Azmi mempunyai pelbagai rencana dalam pengarahan dan projek yang tidak pernah henti. Begitu juga saya yang masih tidak berehat daripada berkejar-kejar ke lokasi penggambaran. Mungkin ini adalah rezeki buat kami berdua.

"Namun kami sepakat untuk tidak mengikat pertunangan terlalu lama. Sebenarnya, kami merancang ingin melangsungkan perkahwinan pada November depan.

"Namun melihat pada jadual kerja yang begitu padat, kami terpaksa menangguhkannya hingga ke Januari atau Februari depan. Tapi itu juga bergantung kepada keadaan. Cuma apa yang penting ketika ini, kami cuba untuk meletak fokus utama kepada soal masa depan ini dulu," katanya yang mengakui belum sempat berbincang soal anak dan kerjaya selepas berkahwin kelak.

Terbaru, pasangan pelakon popular dan pengarah �berkaliber ini akan disatukan menerusi drama istimewa, Hantu Gigi yang bakal disiarkan di Astro Prima, jam 9 malam ini.

Elly yang menggalas watak sebagai Ain akan bergandingan dengan barisan pelakon lain termasuk Fauzi Nawawi, Mak Engku, Bad Kerdil, Hamdan �Senario dan Illya Buang �Shaharum menyifatkan �pengarahan Azmi dalam telefilem ini begitu berbeza dan tersendiri.

"Hantu Gigi adalah sebuah naskhah sentuhan Azmi yang saya lihat menarik dan tersendiri.

"Setiap pengarah punya dimensi, perspektif dan kreativiti yang berbeza dan begitu juga Azmi, dia punya visi dan hala tuju yang jelas dan �membuatkan pelakon selesa untuk memberikan yang terbaik.

"Drama ini mengisahkan gelagat masyarakat di sebuah perkampungan yang huru-hara apabila cerita mengenai hantu gigi yang mula menyerang kawasan kediaman mereka. Menariknya, ia tidak hanya seram dan takut sebaliknya terdapat banyak plot dalam drama ini yang turut menyuntik rasa sedih, emosi dan mencuit hati.

"Jujurnya saya sendiri tidak sabar untuk menonton drama ini kerana plot ceritanya, pembangunan watak dan gaya pengarahan begitu menarik dan berbeza. Ia mengisahkan kehadiran makhluk halus di Kampung Batu Melintang di Sungai Petani.

"Saya yakin penonton akan terhibur dengan jalur ceritanya yang bersulam drama emosi, komedi dan rasa seram dalam satu masa yang sama," katanya yang mengakui profesional meskipun kekasihnya pengarah drama yang dilakonkannya.

PROFIL

NAMA PENUH: </</b>b>Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi
TARIKH LAHIR: 17 Disember 1980
TEMPAT LAHIR: Slim River, Perak
ZODIAK: Sagittarius
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Ahmad Bustaman, Taman Maluri
ADIK BERADIK: Anak bongsu dari tiga beradik
FILEM: Gerak Khas 2, Tangkai Jering, Janji Diana
ALBUM: Sutera Kasih (1997), Satu Persatu (1999), Elly (2001), MTV Karaoke Elly Mazlein (2001), Best of Elly Mazlein (2002), Atas Nama Cinta (2003)






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top