Hazama dan Fina dibawa masuk sebagai pelajar baru Akademi Fantasia 9 (AF9) menggantikan tempat Amir dan Aida yang dibawa keluar kerana sebab yang difikirkan sesuai oleh pengetua dan tenaga pengajar program realiti itu melalui kejutan Operasi Gugur.


Berjayakah Hazama dan Fina menarik perhatian penonton yang sudah selesa dengan pelajar sedia ada? Sejauhmanakah pula mutu kedua-dua mereka sehingga pihak produksi sedia membawa masuk?

Kononnya ada kritikan yang diberikan oleh peminat bahawa ada segelintir pelajar AF9 yang tidak bersungguh-sungguh. Kerana itulah Operasi Gugur diperkenalkan.

[Berjayakah Hazama dan Fina?]

Berjayakah Hazama dan Fina?
Fina ialah adik kepada Aida yang disingkirkan. Dia salah seorang yang datang uji bakat dan tidak dipilih kerana tidak mencecah usia menimum yang ditetapkan. Pada hari kemasukannya ke AF9, usianya sudah mencecah 18 tahun.

Sekali fikir, bunyinya macam ada perancangan membawanya masuk selepas mencecah usia 18 tahun. Tapi hanya pihak produksi yang tahu apa sahaja yang dilakukan oleh mereka. Namun banyak yang memuji vokal Fina dan sudah ada peminat yang mula menyukainya.

Kalau kemasukan mereka bertujuan mahu memberi lebih perhatian terhadap AF9 yang belum nampak impak besar, kita kena tunggu dan lihat. Adakah sesuatu yang luar biasa bakal berlaku dalam konsert minggu ini dan minggu-minggu seterusnya.

Dalam konsert minggu ini, nampaknya lebih ramai pelajar yang dikritik berbanding mendapat pujian pengkritik tetap, Fauziah Ahmad Daud, Hattan dan pengkritik undangan yang juga bekas pengetua AF8, Norman Abdul Halim.

Fauziah naik angin apabila pelajar dilihatnya tidak mengambil kesempatan memilih lagu yang benar-benar menonjolkan kelebihan mereka apabila diberi peluang memilih sendiri lagu nyanyian pada konsert Operasi Gugur itu.

Azri dilihat membuat pilihan lagu yang menonjolkan kekuatannya serta membuat persediaan sepenuhnya sebelum memulakan persembahan. Juri juga sepakat memuji Lena yang memiliki aura tersendiri walaupun sesekali nyanyiannya ada bunyi Ella ketika menyanyikan lagu Layar Impian.

Hazama tak hadir uji bakat?

Kemasukan Hazama menerusi Operasi Gugur menimbulkan rasa tak puas hati segelintir pemerhati AF. Penglibatan Hazama selepas gagal masuk AF4 lima tahun lalu dilihat sudah cukup meletakkannya sebagai seorang artis. Apa perlu dia masuk AF selepas berjaya sebagai penyanyi.

[Amir dan Aida kena balik.]

Amir dan Aida kena balik.
Dalam komen pada laman sosial facebook milik seorang kenalan kepada Fir (yang gagal diserapkan), ada yang mempersoalkan kemasukan Hazama. Katanya nama Hazama tidak tersenarai sebagai calon Top 40 atau Top 25 AF9. Malah katanya lagi Hazama juga tidak hadir uji bakat AF9.

"Mungkin ada juri (pihak produksi) telefon suruh dia masuk... tak adil," kata penghantar komen dalam loghat Sarawak.

Kalau benarlah komen peminat itu bahawa Hazama tidak hadir uji bakat, mereka ada sebab untuk mempertikaikannya. Memang Hazama pernah sampai ke peringkat Konsert Prelude musim ke empat dulu, tapi kalau dia tak hadir uji bakat AF9, bagaimana namanya tiba-tiba tersenarai.

"Saya tak puas hati dengan kemasukan Hazama. Hazama sudah jadi artis, sudah macam-macam dia buat persembahan dengan artis AF lain. Berilah peluang kepada Fir," ulas seorang lagi peminat Fir.

oleh Rosli Manah

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top