BIAR dipalit seribu satu kisah kontroversi dan kemelut panjang, penghibur terkenal, Jamal Abdillah bagai tidak terusik. Pesona dan namanya kekal mengiringi bakat nyanyian luar biasa yang dimiliki.

Entah apa formula yang diguna, penawar mana yang dijadikan ubat, penyanyi berusia 52 tahun itu tidak sesekali berganjak walau dipukul sekuat mana kisah negatif yang pernah singgah dalam diari perjalanan seninya.

Realitinya, Jamal masih relevan meskipun sudah lebih tiga dekad merentasi perjalanan sebagai anak seni. Peminat tidak berganjak walau seinci biarpun pelbagai cerita nakal yang hinggap ke telinga.

Buktinya, si empunya nama sebenar, Jamal Ubaidillah Haji Ali juga kelahiran Ipoh, Perak ini masih mampu menghimpunkan lebih 500 tetamu bagi memenuhi dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin bagi menyaksikan persembahannya sempena sambutan Hari Ibu.


Mengangkat tema 'Kasihnya Ibu' dengan konsep ringkas dipenuhi rasa sayang dan cinta kepada ibu, Jamal tampil berbeza dengan dimensi tersendiri mempersembahkan deretan 11 lagu tanpa henti. Bagai diberikan nafas baru kepada pelantun lagu Azura dan Kekasih Awal & Akhir ini, persembahan penyanyi yang selesa dengan deretan 14 koleksi album penuhnya ini memperkenalkan sebuah sisi barunya.


Tidak lagi bersandar pada kekuatan vokal yang tidak perlu disangkal, Jamal kini lebih bijak menyusun bicara bagi memancing perhatian peminat untuk terus terikat hingga akhir persembahannya.

Ketika ditanya kepadanya, penyanyi yang lahir daripada Bintang RTM 1979 ini mengakuinya dan menyifatkan kelainan itu sudah lama disimpan, namun baru kini berani dizahirkan.

"Bukan selama ini saya tidak pernah berkomunikasi atau hanya tegak melontarkan vokal semata-mata, sebaliknya perlu diakui sebelum ini saya kurang pandai mengusik penonton, apatah lagi bergurau sakan bersama mereka. Mungkin itu identiti saya dan memberikan saya keselesaan.

"Bagaimanapun, selepas seketika, saya sedar persembahan itu perlu diberikan sedikit kelainan dan lebih baik jika saya cuba memberanikan diri dengan mengusik mereka. Malah, saya lihat dari perspektif positif, mereka yang hadir adalah peminat dan saya tidak perlu rasa malu.

"Alhamdulillah, semuanya lancar dan rasa janggal pada awalnya itu kian terhakis selepas rasa selesa mula datang buat saya," katanya yang beberapa kali bergurau dengan peminat.

Petang itu, Jamal menyanyikan 11 lagu pilihannya sendiri namun berpaksikan tema persembahan sempena menghargai pengorbanan ibu.

Lantas penyanyi yang pernah membintangi beberapa filem selaku teraju utama termasuk Azura, Tuah, Sejati dan Suratan Kasih itu memilih lagu berentak balada dan klasik yang mampu mengusik jiwa.

Antaranya Takdir Penentu Segala, Kau Lupa Janji, Kepadamu Kekasih, Azura, Kasihnya Ibu, Di Sudut Kamar Hatiku dan lagu rancaknya, Gadis Melayu. Malah, Jamal sempat menyanyikan lagu baru yang akan dimuatkan dalam album Raja Pop 2, Secupak Dua Cupak. Ia bakal menjengah pasaran tidak lama lagi.

Lebih syahdu apabila penyanyi bersuara lantang ini mengalunkan lagu Jeritan Batinku diiringi tiupan saksafon oleh anak muda yang kini gigih membina nama, Alif Nasir selain menyanyi bersama seorang peminatnya bagi lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Jamal menutup persembahannya dengan mendendangkan lagu Penawar Kasih dengan mengundang seorang peminatnya naik ke pentas. Bukan sekadar mampu meragut emosi peminat yang tidak henti-henti menyanyi bersama, malah tatkala Jamal melontarkan bait-bait liriknya sambil menggenggam tangan peminatnya yang juga warga emas mewakili kaum ibu petang itu, jelas kedengaran vokalnya bergetar menahan perasaan.

Percaya atau tidak, julung kali juga terjadi buatnya, peminat yang hadir petang itu berkali-kali mengesat air mata kerana nyanyiannya berjaya mengundang rasa hiba, kekesalan dan syukur.

Jamal sendiri menganggap usaha dan impiannya untuk berkongsi perasaan sayu dirinya yang juga tiada ibu dan bapa berjaya hingga ada antara penonton yang melangkah keluar dewan kerana tidak dapat mengawal emosi.

"Bukan sengaja ingin membuatkan penonton menangis, sebaliknya setiap saat persembahan saya ini disuntik suasana bahagia dan sayang buat ibu yang diraikan. Saya ingin sekali menghiburkan mereka, sekali gus menerapkan rasa syukur kepada anak betapa indahnya hidup bersama ibu yang masih ada.

"Benar saya lihat penonton hiba terutama ketika lagu Kasihnya Ibu dan Kepadamu Kekasih dinyanyikan. Jujurnya, saya sendiri sedih kerana teringatkan arwah ibu. Mujur peminat saya yang sudah boleh saya anggap ibu sendiri ada untuk saya mencurahkan rasa rindu itu.

"Jika diperhati secara keseluruhan, saya begitu gembira kerana berjaya membuatkan semua tetamu terhibur. Peminat yang datang dari pelbagai peringkat umur dan setiap seorang punya harapan yang berlainan. Walaupun saya tidak berpeluang memuaskan hati semuanya, namun setidak-tidaknya senyuman mereka yang terukir sebaik melangkah keluar dari dewan sudah memadai menggembirakan saya," katanya.

Majlis 'Kasihnya Ibu' itu diserikan dengan kehadiran Dee sebagai pengacara dengan pelbagai jenaka dan sembang selambanya.

Penganjur turut mengadakan sesi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan termasuk pakej percutian tajaan FireFly. Sepuluh peminat bertuah Jamal turut dipilih bagi menghadiri majlis makan malam eksklusif bersama penyanyi itu.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top