Berkongsi pelbagai rasa

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my

FILEM Kongsi memungut RM1.08 juta pada hari pertama tayangan. Satu lagi rekod baru yang dicipta penerbit David Teo untuk industri filem tempatan.

Kejayaan ini secara tidak langsung menjadi satu gimik semulajadi untuk terus menarik penonton ke pawagam (termasuk saya yang gigih beratur membeli tiket).

Penonton berhak membuat keputusan sendiri kerana tujuan utama rebiu ditulis bukanlah untuk menjatuhkan atau menyekat keuntungan sesiapa. Sebaliknya, sekadar berkongsi pandangan kerana saya juga sebahagian daripada penonton.

Kongsi mengisahkan Tumulak, seorang pembunuh dari Thailand yang diupah ketua samseng, Kempedu untuk menimbulkan huru-hara di kalangan kumpulan kongsi gelap di Malaysia.

Huru-hara ialah kata kunci untuk filem ini kerana Farid Kamil selaku pengarah berjaya mencapai objektifnya dengan mencipta suasana yang serba kacau dan kelam kabut. Bagaimanapun, kekacauan itu membuatkan saya sedikit 'tersesat' dalam memahami jalan cerita.

Saya terpaksa membuat andaian sendiri (atau mungkin Farid memang sengaja ingin membiarkan penonton berfikir) sebab Kempedu melakukan sedemikian adalah untuk memasuki dan menguasai pasaran kongsi gelap di sini.

Berbekalkan sinopsis seringkas itu, Farid cuba mengisi durasi satu setengah jam dengan pelbagai aksi lagak ngeri dan jenaka. Bagi peminat setia Shaheizy Sam, Kongsi adalah satu pengalaman tontonan yang menyeronokkan kerana bintang paling popular itu mendominasi hampir setiap babak.

Sam membuktikan popularitinya bukan satu gelaran kosong apabila berjaya mewarnakan peranan Tumulak. Sebagai seorang pembunuh upahan, dia digeruni kerana jeling mata dan imejnya yang misterius. Namun, dalam masa yang sama dia ditertawakan kerana sikap cemerkap dan cepat gugup.

Sebenarnya karakter Tumulak boleh dikupas dengan lebih terperinci. Babak-babak imbas semula menunjukkan sisi sedih lelaki itu bagaimana dia terjebak menjadi orang suruhan Kempedu. Emosi rapuhnya tidak dimanipulasikan ketika Tumulak berdepan dengan ASP Sharif yang mengetahui sejarah hidupnya.

Konflik peribadi di antara Tumulak dan ASP Sharif sepatutnya mampu menjadi nilai tambah kepada plot penceritaan. Begitupun, Farid memilih untuk tidak memperbesar-besarkannya, sama ada bimbang ia menjadi terlalu dramatik ataupun membayangi label filem ini yakni aksi komedi.

Seperti mana filem pertama arahannya, V3: Samseng Jalanan (2010), Farid mempamerkan kepakaran dalam menghasilkan adegan-adegan pertarungan dan perkelahian.

Babak di Jalan Petaling boleh diperkemaskan lagi (kerana aksi melompat Sam dan Yana Samsuddin kelihatan jelas dibantu tali). Babak kejar-mengejar di antara Tumulak dan polis di jalan-jalan utama Kuala Lumpur patut diberi pujian.

Gerak kerja kamera yang pantas dan kelicikan Tumulak menimbulkan perasaan lucu dan debar dalam masa yang sama. Kelebihan babak kemuncak ini menutup beberapa kelemahan sinematografi pada awal filem, di mana terdapat adegan yang out of focus dan gambar kabur.

Jenaka yang dicetuskan agak menjadi walaupun Azad Jasmin nampak terlalu mencuba. Kemunculan pelawak veteran, Pie sebagai ketua kongsi gelap Melayu, walaupun sekejap tetapi mampu mencetuskan ketawa.

Dengan rencah lengkap seperti pelakon terkenal dan genre yang popular, Kongsi dengan mudahnya menang di pawagam. Dari aspek teknikal, ya, filem ini menampakkan kemajuan pengarah dan penerbit kita yang semakin berani serta berkemampuan.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top