Karyawan sudah mengeluh

SYARAT wajib tayang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 2005. Antara lain, skim itu menetapkan peraturan wajib tayang kepada tauke panggung agar menayangkan sesebuah filem tempatan yang mendapat status tersebut selama dua minggu.

Lazimnya, selang dua minggu sekali, barulah sebuah judul filem Melayu akan mengambil giliran berada di pawagam, namun jangka hayat sebenar sesebuah film itu bergantung kepada sambutan peminat dan budi bicara tauke panggung.

Bagaimanapun sejak Mac lalu, situasi kemasukan filem-filem tempatan ke pawagam berubah. Di sebalik syarat berada di panggung selama dua minggu, filem tempatan baru perlu diperkenalkan setiap minggu.

Objektif utama Finas adalah untuk memakmurkan industri perfileman tempatan manakala penonton akan diberi banyak pilihan.

Di sebalik semua itu, filem tempatan turut berdepan saingan yang lebih sengit. Bukan hanya bersaing dengan filem-filem luar bahkan ‘perang’ dalaman bersama filem Melayu sendiri.

Melihat senario seminggu satu filem itu, segelintir karyawan filem mula meluahkan keluhan. Kebanjiran filem Melayu di pawagam dikatakan tidak seiring dengan jumlah penonton ke pawagam.

Contoh yang paling ketara, filem Cun lakonan Maya dan Remy yang mendapat kritikan positif sekadar meraih RM1 juta. Kutipan filem seram, Senjakala pula masih berada dalam lingkungan RM1 juta. Ia agak janggal daripada sasaran.

Pengarah prolifik, Mamat Khalid berkata, semakin banyak filem ditayangkan maka industri filem tempatan akan semakin bagus.

“Filem bagus yang menepati kehendak pasaran dan ada estetika sahaja yang akan hidup (dapat sambutan) lama. Filem-filem yang dibikin sambil lewa akan musnah,” pungkas Mamat optimis.

Ditanya risiko persaingan dan kesan jangka pendek terhadap kutipan tidak memberangsangkan yang berlaku kepada filem Cun dan Senjakala, Mamat memberi contoh terhadap situasi yang pernah berlaku di Korea Selatan pada tahun 1990-an.

“Kerajaan Korea membuat undang-undang, 60 peratus peluang harus dibuka kepada industri filem tempatan manakala hanya 40 peratus pasaran dibuka kepada filem luar. Perfileman di Korea meningkat pesat dan bersaing sihat.

“Sekarang, lihatlah mutu pembikinan filem-filem Korea, ada yang setaraf dengan Hollywood. Itu yang saya maksudkan dengan filem yang benar-benar bagus sahaja yang akan ‘hidup’,” katanya.

Tayangan filem seminggu satu filem juga akan membentuk lingkar persaingan yang sama rata tanpa mengira penerbit besar atau pembikin filem indie.

“Dalam tempoh yang singkat, filem besar yang dibikin dengan bajet berjuta-juta terpaksa bersaing dengan filem karyawan indie yang dibikin dengan kos ratusan ribu. Pelaburan tidak sama tetapi ‘berperang’ dalam suasana yang sama, itu macam tidak adil. Di situ, pihak bertanggungjawab perlu buat sesuatu, harus rombak semula keputusan yang sedang dilaksana,” katanya yang masak berdepan turun naik pencapaian filem di pawagam.

Sementara itu, pelakon Melissa Saila bimbang terhadap daya saing karyawan yang baru hendak menapak.

“Memang setengah pihak tiada masalah tapi saya risau, untuk jangka panjang, industri filem kita akan mati,” katanya.

Melissa yang dalam proses suntingan filem pertama arahannya, Dari Kerana Mata, menambah, jumlah penonton filem Melayu semakin mengecil dengan adanya Astro First.

“Kita buat filem untuk panggung bukan televisyen. Itu belum pasal kemasukan filem luar yang langsung tiada sekatan.

“Hal itu boleh menyebabkan penerbit tidak bertani ambil risiko, nak melabur lebih atau cuba genre lain pun tidak berani, semua harus ikut trend,” katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top