
KEHADIRANNYA ke Malaysia benar-benar membuatkan Terry teruja.
MULA mewarnai pasaran muzik Indonesia pada tahun 2006 menerusi album pertamanya, Hatiku Beku, Terryana Fatiah atau lebih dikenali sebagai Terry telah diangkat sebagai bintang baru yang cukup menyinar.
Berbekalkan vokalnya yang unik itu, Terry tidak perlu menunggu lama untuk memikat hati pencinta muzik di Indonesia lebih-lebih lagi selepas single pertamanya, Janji Manismu menggamit pendengar di tanah kelahirannya.
Walaupun menyanyikan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Malaysia, Aishah itu, namun, Terry menganggap lagu hebat itu telah membawa tuah kepada dirinya.
Tidak kisah menyanyikan lagu penyanyi lain sebagai salam pengenalan kepada khalayak kerana bagi Terry, lagu Janji Manismu itu memiliki nilai estetika tersendiri.
“Lagu itu pernah popular dan besar di Indonesia satu ketika dulu dan bagi saya, ia merupakan karya yang bagus kerana liriknya yang cukup puitis.
“Kalau diberi peluang, saya begitu kepingin sekali untuk bertemu dengan Aishah dan menyatakan betapa kagumnya saya terhadap dirinya,” kata Terry dalam satu pertemuan di PNB Darby Park Executive Suites, Jalan Binjai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kehadiran Terry ke negara ini untuk kali pertama adalah dalam rangka promosi album keduanya, Are You Ready edaran Sony Music Malaysia yang kini sudah berada di pasaran.
Tanpa selindung, Terry juga memberitahu sudah lama dia menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Malaysia serta mahu dikenali oleh pencinta muzik di negara ini.
Berbicara lanjut tentang buah tangan keduanya itu, Terry melahirkan rasa bangga dan puas dengan penghasilan album tersebut yang disifatkannya sebagai lambang kematangan dirinya.
Apatah lagi, ia mengambil masa empat tahun untuk dihasilkan dan Terry juga tidak menafikan cabaran untuk menyiapkan albumnya itu bukan calang-calang.
Di samping perlu menyelesaikan tugasan kuliahnya sewaktu menuntut dalam bidang komunikasi di Universitas Prof. Dr. Moestopo sepanjang tempoh empat tahun, dalam masa yang sama juga, dia perlu memberikan komitmen terhadap dunia nyanyian.
Bayangkan kata Terry, disebabkan komposer dan penerbit untuk setiap lagu di dalam album tersebut tinggal di bandar berasingan, telah menyukarkan dan menyulitkan proses rakamannya.
“Semuanya demi mendapatkan kualiti dan hasil yang terbaik untuk album ini. Saya benar-benar kagum kerana diberi peluang bekerjasama dengan komposer serta penerbit hebat seperti Tohpati, Bebi Romeo, Tomo Newdays, Igor Nainggolan dan Badai dari kumpulan Kerispatih.
“Mereka banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar terutama dari aspek penyampaian vokal. Saya sendiri dapat melihat kematangan saya dalam album ini.
“Dalam erti kata lain, album ini adalah refleksi kepada diri saya yang sebenar dari semua aspek.
“Alhamdulillah, sambutan yang diberikan juga memang di luar dugaan oleh peminat di Indonesia. Sememangnya saya meletakkan harapan yang tinggi untuk album ini juga diterima baik oleh peminat di Malaysia,” kata Terry yang dilahirkan pada 14 Jun 1984 ini penuh mengharap.
Album yang memuatkan 12 buah lagu itu mempertaruhkan lagu Harusnya Kau Pilih Aku sebagai single pertama. Malah, Terry juga merakamkan kembali lagu dendangan Iwan Fals yang berjudul Ijinkan Aku Mencintaimu.
Bezanya Terry dengan penyanyi seangkatannya di Indonesia, dia memiliki kekuatan dan kelebihan dari segi penghayatan mendalam untuk setiap lagu yang disampaikannya.
“Saya sedar persaingan di Indonesia begitu sengit dan atas alasan itu, saya perlu membuktikan kepada umum bahawa kehadiran saya dalam dunia seni bukan satu permainan.
“Saya benar-benar serius dengan kerja saya dan tidak pernah lelah untuk terus berusaha memperbaiki diri saya dalam menjadi seorang penyanyi yang disegani.
“Setiap lagu yang saya rakamkan mempunyai ceritanya tersendiri dan adalah menjadi tugas saya sebagai seorang penglipur lara dalam menyampaikan cerita untuk setiap lagu kepada masyarakat,” katanya penuh optimis.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan