Timbalan Ketua Pengarah Belia dan Sukan, Wasitah Mohd. Yusof berkata, inisiatif yang diambil dengan melibatkan golongan muda dalam kegiatan antijenayah merupakan sebahagian daripada program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri di bawah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Menurutnya, golongan remaja menunjukkan minat yang mendalam apabila didedahkan dengan latihan kemahiran kepimpinan dan mempelajari isu-isu berkaitan kepolisan dan keselamatan masyarakat.
''Kumpulan muda yang kita daftarkan di bawah CAT ini bergerak di peringkat daerah-daerah dan aktiviti mereka diselaraskan oleh Pejabat Belia Daerah-Daerah.
''Seramai 3,350 orang yang berdaftar itu adalah dari empat negeri utama yang dikategorikan di bawah negeri 'panas' iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Serentak itu, CAT yang baru diwujudkan tahun lalu akan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di 'Y' Avenue sempena Himpunan Sejuta Belia 2011 di sini yang akan bermula esok.
Jelasnya, penyertaan tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mencegah jenayah kerana secara tidak langsung membantu mewujudkan ruang serta hubungan lebih baik dengan pihak polis.
''Tahun lalu lebih 2,200 orang ahli CAT dari empat buah negeri 'hot spot' telah didaftarkan sementara sebanyak 767 aktiviti dilaksanakan," katanya.
Menurut Wasitah, menerusi CAT, golongan muda dan remaja lebih mudah didekati kerana mereka dilibatkan dalam aktiviti dan program berterusan bagi mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan antijenayah.
Program berkenaan, katanya, berfungsi sebagai saluran untuk pihak polis berinteraksi dengan golongan sasar dan mereka akan diberi tunjuk ajar dan didedahkan dengan pelbagai kaedah jika berdepan dengan kejadian jenayah.
''Kita mendapati ia amat berkesan dalam membantu usaha pencegahan, justeru kita berhasrat platform ini dapat dimanfaatkan oleh pihak berkuasa khususnya polis untuk menyalurkan maklumat kepada golongan muda," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan