Penjara cinta Nora Elena
Oleh MOHD. ALIF ABU BAKAR
LAMBAKAN drama dan filem yang diangkat daripada naskhah novel kian bertali arus di kaca televisyen mahupun di layar perak.
Kejayaan formula sedemikian menarik penonton telah membuka mata ramai penggiat drama dan filem bagi menghasilkan lebih banyak karya yang diolah daripada novel.
Nora Elena, adaptasi sebuah novel berjudul Kasih Yang Suci hasil nukilan Meen Zulaikha mengisi slot Akasia di TV3 menggantikan drama Cinta Antara Kita.
Mempertaruhkan genre cinta bagi menambat hati penonton setia slot tersebut, drama 24 episod itu membariskan bintang-bintang ternama seperti Aaron Aziz, Siti Saleha dan Wan Sharmila.
Pendukung watak utama, Siti Saleha mengakui memainkan peranan sebagai Nora Elena bukan tugas mudah kerana jalan cerita drama itu menuntutnya bermain dengan pelbagai emosi.
"Nora Elena satu karakter penuh kejujuran dan kelembutan, hatinya juga rapuh kerana sejarah silam yang dialami.
"Saya teruja melakonkan watak tersebut memandangkan ini pertama kali saya terlibat dengan drama yang diterjemahkan daripada novel," jelas aktres yang semakin meningkat naik itu.
Berbeza pula dengan Aaron Aziz yang tidak mengalami masalah melakonkan watak Seth Tan dalam drama bersiri terbitan Asian Media Content (AMC) itu.
"Watak Seth Tan tidak sukar untuk dimainkan namun masih ada sedikit kesulitan bagi menunjukkan keberkesanan watak tersebut.
"Saya mengalami sedikit kesukaran bagi menunjukkan emosi sebagai seorang lelaki yang dianggap sebagai perampas walaupun pada hakikat dia bukan seorang perampas," kata Aaron.
Drama arahan Jet Li itu berkisar tentang kehidupan seorang perempuan bernama Nora Elena (Siti Saleha) yang sentiasa dibayangi detik hitam dia dinodai seorang lelaki yang bernafsukan binatang.
Selepas 10 tahun berlalu, Nora akhirnya berjaya menyingkirkan memori pahit itu setelah bertemu cinta hatinya, Idham (Zul Ariffin).
Rancangan membina rumah tangga bersama Idham dilanda badai apabila Nora mula rapat dengan majikan Idham, Seth Tan (Aaron Aziz).
Cemburu mula menguasai Idham lantaran salah faham yang timbul dan sekali gus membuat keputusan membatalkan perkahwinannya bersama Nora.
Tindakan drastik Idham membuatkan Nora benar-benar terpukul dengan keadaan yang dialami dan secara tidak langsung mengundang kembali kisah silam yang telah lama dibuang jauh.
Dugaan demi dugaan menimpa Nora serta pelbagai cemuhan terpaksa ditelan walaupun cintanya terhadap Idham sememangnya tulus dan ikhlas.
Di kala itu, Seth menghulurkan tangan dan menawarkan diri sebagai pengganti Idham dalam hidup Nora. Seth bersedia menghilangkan penderitaan Nora dengan mengahwini Nora.
Sejauh mana kejujuran Seth dan terleraikah persoalan siapakah yang menodai Nora satu ketika dulu? Semuanya bakal terjawab dalam drama meruntun jiwa yang turut dibintangi Erry Putra dan Puteri Fateen itu.
Jangan lupa menyaksikan drama Nora Elena yang kini setiap hari Isnin hingga Jumaat pada pukul 7 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan