KUALA PILAH: Kegembiraan seorang bapa berkelah bersama tiga anak perempuannya di Hutan Rekreasi Ulu Bendul di sini, Selasa berakhir dengan tragedi apabila semua anaknya hilang dihanyut arus deras.
Nur Syaza Alisa Syed Ahmad Ibrahim, 5 serta dua adiknya Nur Syaza Azira, 4, dan Nur Syaza Sakirah, 2 tahun dibawa arus deras ketika sedang mandi dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Jaafar Baba berkata bapa mereka dan kenalan wanitanya terselamat namun mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Pilah.
“Kejadian itu berlaku semasa hujan yang turun sejak pukul 4 petang tadi. Ketika sedang mandi, tiba-tiba mereka dirempuh oleh arus deras, bapa mereka yang dikenali sebagai Syed Ahmad Ibrahim, 28 tahun dan kenalan wanitanya yang dikenali sebagai Alwani Abu Hasan, 20-an berjaya diselamatkan orang ramai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Beliau berkata usaha mencari dan menyelamat tiga kanak-kanak itu dilakukan 40 anggota dan pegawai dari pasukan polis, Ikatan Sukarelawan Rakyat, Jabatan Pertahanan Awam dan juga bomba.
“Saya juga ingin menasihatkan orang ramai, sekarang musim hujan. Kalau masuk ke kawasan hutan macam ini berjumpalah pegawai perhutanan yang bertugas untuk meminta nasihat. Nasihat ini bukan sahaja saya tujukan kepada mereka yang mahu mandi manda tetapi kepada pendaki Gunung Angsi yang sering tersesat di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, ibu tiga beradik malang itu yang dikenali Wan Azlela Wan Ibrahim, 27, kelihatan menunggu di kawasan berhampiran.Dalam pada itu, seorang pengunjung Turiman Bostam, 42, yang juga saksi memberitahu Bernama kejadian berlaku dengan pantas.
“Semasa itu hujan sudah turun dalam keadaan renyai-renyai, biasa kalau hujan renyai di kawasan ini maknanya hujan telah lebat di kawasan bukit dan air akan melimpah dengan tiba-tiba. Saya dalam perjalanan dari tapak perkhemahan menuju ke atas hutan rekreasi,” katanya.
Namun kata beliau, secara tiba-tiba beliau melihat susuk tubuh tiga kanak-kanak itu dilambung air deras dan cuba menyelamatkan mereka.
“Saya tidak dapat menyelamatkan mereka. Sebaik selepas itu, saya melihat seorang wanita dewasa sedang hanyut. Saya capai tangannya tetapi terlepas menyebabkan saya terpaksa menarik rambut wanita itu,” katanya.
Ketika itu juga Turiman berkata beliau terdengar jeritan meminta tolong seorang lelaki yang kemudian dikenal pasti sebagai bapa tiga beradik tersebut.
Lelaki itu kemudian diselamatkan orang ramai yang ada di kawasan berhampiran, katanya yang mengakui ini adalah kali kedua beliau menyelamatkan mangsa lemas.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan