Biodata Profil Radzuan Radziwill

Nama: Radzuan Radziwill

Asal: Kuala Kangsar, Perak

Kerjaya: Pereka fesyen, pemilik butik Radzuan Radziwill

Pendidikan: Sarjana dalam bidang fesyen, Universiti Bunka, Tokyo Jepun (1994); Ijazah Sarjana Muda (Fesyen), Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Pencapaian: Tokoh Jarum Berlian Malaysia (2005), tempat pertama Anugerah Benang Emas - majalah Jelita (1994)

Butik Online: radzuanradziwill.com

Radzuan Radziwill

Radzuan Radziwill Pereka Fesyen Berjaya

Walaupun hampir 18 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan, dengan ada antara pereka seangkatannya sudah tersungkur dan menukar haluan, jenama Radzuan Radziwill masih gah dan cukup dikenali sebagai pereka bercita rasa mewah di kalangan orang kenamaan.

Untuk mencapai seperti apa yang diperolehnya kini bukanlah sesuatu yang mudah. Tanpa kesungguhan dan semangat yang tinggi, dia mengakui tidak mungkin Radzuan Radziwill berada seperti sekarang.

"Dari segi luaran mungkin ramai beranggapan begitu senang bergelar pereka. Namun sebenarnya rekaan fesyen bukan satu bidang yang mudah. Saya sendiri bukan daripada kalangan keluarga senang atau berlatar belakang perniagaan. Saya bekerja bersungguh-sungguh siang dan malam. Ini kerana untuk meraih kepercayaan, saya perlu menunjukkan komitmen tinggi serta bersabar melayan kerenah pelanggan," katanya memulakan bicara.

Mengimbas kembali kesusahan yang pernah dilalui ketika melanjutkan pelajaran di Jepun dalam jurusan sarjana fesyen di Universiti Bunka, Tokyo, pemilik nama sebenar Radzuan Radzi ini mengakui daripada 30 pelajar Malaysia yang dihantar ke Jepun, hanya dia seorang memilih bidang fesyen dan satu-satunya lelaki Melayu tunggal di sana.

"Saya terasa diri begitu kerdil kerana tiada rakan sekuliah dari Malaysia untuk berkongsi masalah. Ditambah pula teknologi mereka yang sangat maju ke depan membuatkan saya terpaksa berusaha lebih gigih untuk menyaingi pelajar di sana," katanya.

Selain itu, kos kehidupan yang sememangnya tinggi menyebabkan Radzuan tidak hanya mengharapkan biasiswa semata-mata sebaliknya melakukan kerja sambilan sebagai pelayan restoran untuk membiayai kos kehidupan di Jepun. Hampir empat tahun berjuang, akhirnya Radzuan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang sarjana fesyen.

Memulakan karier sebagai pensyarah kerana ingin memenuhi permintaan ibu bapa, tidak sampai sebulan Radzuan mengubah haluan bergelar pereka fesyen. Ini kerana dia sendiri tidak menyangka pertandingan Anugerah Benang Emas anjuran majalah Jelita yang disertainya sekadar suka-suka mengubah keseluruhan hidup dan juga kerjayanya apabila dia dinobatkan sebagai pemenang.

"Selepas kemenangan itu, saya bertekad memilih kerjaya pereka dan berazam membuka perniagaan sendiri. Saya percaya sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak mustahil saya mampu membuka perniagaan suatu hari nanti," katanya yang membuka butik pertama iaitu bengkel batik di Gombak.

Melihat kesungguhan Radzuan, ibu bapa yang pada mulanya tidak merestui pilihan kerjaya anaknya akhirnya memberikan sokongan dan semangat kepadanya.

Tanpa mengambil masa yang lama, beberapa tahun selepas itu Radzuan membuka butik sendiri di Kompleks Daya Bumi dengan menumpukan perhatian kepada rekaan busana pengantin. Pada masa sama, dia melalui fasa pembelajaran dengan mempelajari teknik membuat rekaan, lakaran, kaedah memotong, menjahit dan melakukan kerja kemasan terakhir sebelum menyerahkan pakaian kepada pelanggan.

Malah, di sini juga dia mempelajari selok-belok ilmu perniagaan dengan menguruskan hal ehwal kewangan dan menjalankan urusan promosi.

"Apa yang saya peroleh hari ini adalah hasil daripada kerja keras selama 18 tahun. Saya tidak pernah duduk diam. Malah sehingga sekarang saya masih melakukannya sendiri daripada membuat lakaran, memilih fabrik sehingga mengambil ukuran pakaian. Ini perniagaan saya walaupun ada keluarga membantu tetapi akhirnya ia di atas bahu saya sendiri," ujarnya yang kini memiliki 48 pekerja termasuk adik-beradik yang membantu, meringankan urusan di butik.

Jelas Radzuan, sekiranya dia tidak bersungguh-sungguh dan serius dalam perniagaan, mana mungkin dia mampu membayar gaji pekerja yang tentunya untuk menyara keluarga. Justeru, apa yang dilakukannya sejak 18 tahun dulu sesuatu yang serius serta memerlukan semangat yang tinggi.

Kini walaupun dia boleh menyerahkan urusan kepada orang lain, Radzuan masih menumpukan kepada kerja di butik terutama bagi menjaga kualiti produk serta jalinan istimewa dengan pelanggan yang terdiri daripada orang kenamaan serta selebriti popular. Menyiapkan tempahan daripada pelanggan tetap yang kadangkala mencecah belasan dan puluhan ribu ringgit sehelai memerlukan waktu dan ketelitian.

Bagi Radzuan, resipi kejayaannya mudah iaitu sentiasa memberi tumpuan pada karier dan bekerja keras untuk berjaya. Apa saja dilakukan harus bersederhana sama ada dalam kehidupan, kerjaya dan juga perniagaan.

Melihat kemunculan ramai pereka muda ia sesuatu yang positif kerana masingmasing dapat bersaing secara sihat. Namun untuk kekal dalam industri, pereka muda harus bijak mencari ruang, rajin dan tidak kenal erti putus asa.

"Bagi saya, untuk berjaya mereka seharusnya bijak menggunakan peluang dan tidak terlalu ingin mengejar populariti. Sekiranya mampu menghasilkan produk berkualiti dan mempunyai cita rasa sendiri, populariti akan datang kemudian. Gunakan peluang untuk belajar dan menimba lebih pengalaman. Belajar memahami liuk lenggok tubuh dan mengekalkan disiplin sepanjang masa," nasihatnya.

Untuk tahun ini, Radzuan ingin memperluaskan label sedia dipakai sama ada dijual menerusi dalam talian serta kerjasama dengan pusat beli-belah. Rekaan untuk pakaian pengantin masih diteruskan kerana ia suatu identiti serta keistimewaan dalam rekaan selain menambah kepada perkhidmatan penyediaan pelamin dan hantaran yang dilakukan hampir setiap minggu.

"Ramai beranggapan saya hanya mengambil tempahan untuk majlis perkahwinan untuk golongan kenamaan saja, tetapi sebenarnya tidak. Pelanggan tidak terhad kepada golongan atasan sebaliknya terbuka kepada sesiapa saja bergantung kepada majlis dan kemampuan pelanggan. Untuk busana biasanya harga bermula RM3,000 ke atas manakala pakaian sedia dipakai bermula daripada RM100," jelasnya.

Mengenai perancangan masa depan, pantas Radzuan berkata yang dia mengimpikan sebuah akademi fesyen bagi membolehkannya berkongsi karya, ilmu dan pengalaman sepanjang berkecimpung di dalam bidang ini bersama pereka muda yang bakal dilatih sebagai pelapis.

Tanpa berselindung dia memberitahu sudah menerima tawaran untuk itu namun masih berkira-kira untuk memulakannya. Ini kerana untuk pembangunan sebuah sekolah fesyen memerlukan perancangan jangka panjang dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

"Apa yang saya impikan adalah gabungan bersama agensi kerajaan atau institusi pendidikan yang menyediakan jurusan dalam bidang fesyen bagi membolehkan akademi ini bertahan dalam jangka panjang.

"Saya tidak mahu melakukannya hanya separuh jalan kerana ini keinginan saya untuk membuat amal jariah melalui pendidikan dan diharap kemahiran yang diberikan kepada mereka mampu meningkatkan ekonomi keluarga," katanya yang turut menempatkan koleksi pakaian di The Twelve Fahrenheit 88, Kuala Lumpur.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top